Thursday, 4 July 2019

Halim Tekad Julang Nama Negara

SHARE
Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri akan membantu meringan dan memudahkan urusan Halim dalam bidang itu.
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Anak jati Terengganu, Abdul Halim Abdullah, 48, berazam untuk mencipta kejayaan dalam kejohanan lumba kereta berprestij, Asia Auto Gymkhana Competition (AAGC) Rd1 2019 di Yokjakarta, Indonesia yang berlangsung 11 Julai ini.

Abdul Halim yang mewakili ‘Team Malaysia’ dalam pertandingan peringkat antarabangsa itu meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan yang terbaik bagi menebus kehampaan pada kejohanan lepas.
Katanya, aksi ‘pemanas badan’ yang disertainya di Sepang sebelum berangkat ke Indonesia akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperbaiki segala kekurangan yang ada.
“Kami memang letakkan target tertentu, pada pusingan terdahulu kita berjaya berada di kedudukan yang baik, namun berlaku sedikit masalah teknikal pada saat akhir menyebabkan kami tercicir mata, jadi kami akan tebus balik.
“Manakala dalam kejohanan Asia itu sebelum ini, kami berjaya berada pada kedudukan ketiga daripada 16 buah negara di Asia, jadi pada kali ini kami harap untuk meningkat ke kedudukan lebih tinggi,” ujarnya.
Halim bersama keretanya.
Halim berkata demikian ketika ditemui media selepas dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di kediamannya di Kampung Bukit Kecil, di sini hari ini.
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, pencapaian membanggakan Abdul Halim Abdullah, 48, dalam beberapa siri perlumbaan kereta peringkat antarabangsa sebelum ini akan memberi inspirasi kepada anak muda khususnya di Terengganu.
Kata beliau, kejayaan mewakili ‘Team Malaysia’ dalam pertandingan lumba kereta, adalah pencapaian terbaharu yang cukup membanggakan dan wajar diberi pujian. Justeru, kerajaan negeri akan membantu menyalurkan bantuan kewangan.
“Insya-Allah kita akan memberikan apa yang diperlukan oleh pelumba yang mewakili negeri dan negara ini bagi melancarkan lagi aktiviti dan perjalanan karier mereka.
“Mudah-mudahan kejayaan dan pencapaian ini menjadi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain dalam mencapai impian dalam hidup masing-masing dan semoga ia juga mampu menaikkan nama negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang rakyatnya cemerlang dalam bidang sukan permotoran,” tambah beliau.
Kejayaan-kejayaan yang pernah diraih Halim.
Abdul Halim cukup berminat dalam bidang permotoran di awal usia muda dengan mernyertai perlumbaan motor 'Cub Prix' dan pernah mengalami kemalangan yang serius sebelum bertukar ke bidang perlumbaan kereta.
Dia yang pernah menjadi juara dalam beberapa kejohanan seperti di Thailand, Singapura memulakan karier itu sejak tahun 2000.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: