Monday, 15 July 2019

Generasi Muda Perlu Pertahankan Seni Silat - ADUN Buluh Gading

SHARE




Oleh : Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Seni silat menjadi lambang kepada penyatuan sesebuah bangsa, lantaran itu, anak muda perlu mencintai seni pertahanan diri ini agar tidak pupus ditelan zaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, penubuhan gelanggang silat merupakan satu alternatif untuk memupuk sifat cinta dan cakna kepada warisan yang menjadi kebanggaan negara suatu masa dahulu.

Jelasnya, aktiviti silat bukan sahaja mengajar ahlinya bagaimana mempertahankan diri tetapi juga untuk membina satu masyarakat yang mempunyai ketahanan dalaman jati diri, disiplin, dan pembentukan sahsiah berkualiti. 
“Anak muda boleh mengambil peluang untuk mengisi masa lapang dengan menyertai sukan silat yang menjadi warisan turun temurun yang kian dilupakan.

“Ini kerana anak muda sekarang berhadapan dengan cabaran yang sangat besar dan banyak terdedah dengan unsur-unsur yang merosakkan dan aktiviti tidak sihat serta tidak bermanfaat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan Gelanggang Silat di Kampung Tetambah, di sini baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tetambah, Abas Muda.

Mengulas tentang pembinaan gelanggang itu, Ridzuan berharap agar ia dapat dimanfaatkan untuk mengukuhkan ikatan sesama ahli qariah kerana ia akan memberi manfaat yang sangat besar dalam pembangunan masyarakat setempat.

“Apabila telah handal bersilat, jangan sombong dan bergaduh. Gunalah kemahiran dan ilmu ini hanya dalam keadaan yang sangat memerlukan untuk mempertahankan diri. Semakin banyak ilmu yang kita ada, sepatutnya kita semakin tawadduk.

“Kerana itu, jangan lupa Allah SWT apabila bersilat. Amalkan wirid-wirid dan zikir-zikir yang sahih, elakkan mentera yang berlawanan dengan syariah sehingga bacaannya tidak difahami,” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: