Tuesday, 9 July 2019

ECRL : Terengganu Mohon 50 Peratus Penglibatan Kontraktor Tempatan

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA NERUS, 9 Julai - Kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan memperluaskan skop penglibatan kontraktor tempatan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada 40 peratus kepada 50 peratus dari keseluruhan projek. 

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri berkata, ini kerana 40 peratus itu tidak mencukupi untuk menggerakkan ekonomi negeri Terengganu.

"Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman untuk melancarkan semula projek ECRL pada 25 Julai ini, tetapi ketetapan sebanyak 40 peratus itu tidak cukup untuk menggerakkan ekonomi negeri.

"Kita mahu tahu 40 peratus pembabitan kontraktor tempatan seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, itu dari segi apa kerana jika jumlah itu merangkumi keseluruhan projek memang tidak cukup untuk gerakkan ekonomi di Terengganu.

"Jadi kalau boleh kita nak berunding semula dan minta kerajaan pertimbang untuk tingkatkan skop ini kepada sekurang-kurangnya separuh daripada keseluruhan projek di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), di sini malam tadi.

Katanya, kontraktor tempatan perlu diberi peluang melibatkan diri dalam projek berkenaan kerana mereka mempunyai pelbagai kepakaran dalam kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.

Kerajaan negeri akan mengambil langkah proaktif dengan mengumpulkan senarai kontraktor serta syarikat yang layak serta berpotensi untuk mengambil bahagian dalam projek ECRL.

Bagaimanapun, kerajaan negeri masih menunggu keputusan rasmi dari Kerajaan Pusat berhubung perkara tersebut.

"Saya hanya mendengar kenyataan ini melalui media, tidak ada maklumat rasmi mengenainya dari Kerajaan Pusat," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri memberitahu, aktiviti industri dan kilang yang berisiko keselamatan berada pada tahap kawalan serius bagi mengelak tragedi tidak diingini daripada berlaku.

Beliau mengakui bahawa pihaknya ada menerima aduan di laman sosial mengenai pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti kilang di beberapa tempat, namun belum mendapat laporan rasmi daripada pihak berkaitan.

"Tetapi kita sudah berbincang dengan pihak kilang untuk cari langkah bagi meneutralkan bau tersebut. Walaupun tidak menyalahi undang-undang dari segi keselamatan, tetapi keselesaan orang ramai amat penting.

"Kerajaan negeri juga mengikut peraturan dengan melaksanakan pengasingan kilang di zon-zon tertentu dan juga di zon penampan," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: