Tuesday, 16 July 2019

Dua GLC Ditamatkan Operasi - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan negeri menamatkan operasi dua buah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TI) bagi tahun 2019.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, manakala lapan buah syarikat kini dalam proses pembatalan pendaftarannya melalui  pertimbangan asas penutupan GLC berdasarkan faktor-faktor tertentu.

Antaranya syarikat yang telah lama ditamatkan operasinya, yang berstatus 'dormant' dan pendapatan yang dijana oleh operasi syarikat tidak dapat menampung kos operasi.

Katanya, ini termasuklah mengakibatkan kerugian yang berterusan, aliran tunai bulanan negatif yang membebankan syarikat induk, jenis perniagaan yang tidak lagi sesuai, tidak menguntungkan dan bukan merupakan perniagaan teras (core business) Terengganu Inc.

“Dua buah GLC yang ditamatkan adalah Permint Bina Bahan Sdn Bhd yang mengeluarkan bata merah dari tanah liat pada Februari 2019 dan TI Food Ventures Sdn Bhd yang mengendalikan 'outlet' Chicken Cottage di Ladang Tok Pelam pada Julai 2019.

“Manakala lapan lagi syarikat yang dalam proses pembatalan pendaftaran syarikat secara ‘winding up’ ialah PTB Global Sdn Bhd, PTB Nominee Tempatan Sdn Bhd, PTB Property Developer Sdn Bhd, Kenyir Outdoor Leadership Academy Sdn Bhd, TI Overseas Investment Limited, TI Overseas Resources Limited, Chicken Cottage Holding Sdn Bhd dan TI Global Food Holding Management Limited,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut tentang jumlah kakitangan yang terlibat dalam penutupan GLC dan apakah nasib mereka, Ahmad Samsuri berkata, terdapat 32 orang kakitangan yang terlibat dalam penutupan dua GLC iaitu seramai 17 orang dari Permint Bina Bahan Sdn Bhd dan 15 orang dari TI Food Ventures Sdn Bhd.

“Bagi Permint Bina Bahan Sdn Bhd,  kakitangan yang telah ditamatkan perkhidmatan pada Februari 2019 akan menerima  bayaran pemberhentian iaitu lima kakitangan tetap sebanyak RM40,450 setiap orang dan 12 kakitangan berstatus sementara sebanyak RM35,539 seorang.

“TI Food Ventures Sdn Bhd yang merupakan syarikat yang mengendalikan outlet Chicken Cottage di Ladang Tok Pelam melibatkan kakitangan tetap seramai 10 orang di mana dua orang telah ditawarkan dengan pekerjaan baru (new offer) dengan syarikat lain di Kumpulan Terengganu Inc dan lapan orang lagi akan dipinjamkan (secondment) di entiti lain," jelasnya ketika menjawab soalan tambahan Tengku Zaihan.

Tambahnya lagi, bagi lima kakitangan yang berstatus kontrak pula, seorang ditawarkan pekerjaan baru (new offer) dengan TI Properties Sdn Bhd dan empat orang akan dipinjamkan (secondment) di GLC  lain.

Sementara itu, TI Global Food Management Limited yang merupakan syarikat pengurusan kepada Chicken Cottage di Malaysia dan beroperasi di Kuala Lumpur akan dihentikan operasinya pada 31 Julai 2019 melibatkan pemberhentian enam orang kakitangan tetap yang melibatkan bayaran pemberhentian pekerjaan sebanyak RM142,000.

Jelas Ahmad Samsuri, jumlah GLC yang masih dalam penilaian untuk ditutup adalah GLC yang dormant dan tidak lagi beroperasi yang sedang dalam proses penilaian sama ada akan diwinding up atau akan digunakan sebagai Special Purpose Vehicle (SPV) bagi perniagaan baru berjumlah 39 buah syarikat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: