Monday, 15 July 2019

Drawbridge Terengganu Bakal Tersenarai Di MBOR

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Jambatan angkat (drawbridge) Terengganu bakal menempa sejarah tersendiri apabila dijangka mencatatkan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai 'bascule' (daun jambatan) terpanjang di dunia dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, ia kerana drawbridge yang merupakan mercu tanda baharu Terengganu itu bukan sahaja kebanggaan negeri tetapi juga Malaysia.

"Ianya satu tarikan baharu di Terengganu dan pertama di Malaysia malah saya boleh katakan "new architecture marvel", satu pembinaan yang hebat dengan bascule 76 meter dan dikatakan terpanjang di dunia.

"Kita akan panggil MBOR untuk menilai  dan seterusnya mengiktiraf drawbridge ini. Selepas itu kita akan usahakan untuk senaraikan di dalam Guinness Book of World Records," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program lawatan kerja ke drawbridge, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong.

Katanya lagi, mercu tanda ini juga boleh menarik ramai peminat untuk datang ke Terengganu.

"Dan kita juga bincang bagaimana kita boleh buat aktiviti di sini untuk menjadi tarikan kepada pelancong mungkin dari segi sukan esktrem.

"Pihak Tourism dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)  akan bekerjasama dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)  dan negeri demi memajukan lagi tarikan pelancongan ke negeri ini," tambahnya lagi.


Menurut Muhammad Bakhtiar, walaupun bukan pakar tentang sukan ekstrem, beliau akan usahakan untuk mendapatkan operator bertauliah dan boleh dipercayai.

"Saya ada kenal beberapa operator di dunia ini dan kalau kita jemput mereka ke sini dengan kerjasama negeri, insya-Allah biar mereka sendiri akses dari segi 'marketable safety'.

"Tadi pun kita melihat 'sea through sky terrace' dan itu juga menjadi tarikan utama untuk mereka yang suka berswafoto dan ini juga boleh dijadikan satu tempat yang menarik," ujarnya.

Beliau juga berpendapat lokasi drawbridge tersebut sesuai untuk pelbagai program, sukan seperti larian atau berbasikal.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: