Wednesday, 31 July 2019

Drawbridge Dibuka Sepenuhnya Esok - MB Terengganu

SHARE


KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Jambatan Angkat atau Drawbridge akan dibuka sepenuhnya kepada orang awam bermula pukul 6.00 pagi esok, 1 Ogos.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, laluan di jambatan angkat itu boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan.

Walau bagaimanapun, pengguna tidak dibenarkan untuk meletakkan kenderaan atau berhenti di laluan tersebut kerana boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.

“Para pengunjung yang ingin melawat diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif.

“Ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Menurut Ahmad Samsuri, kerajaan negeri juga telah melantik Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) sebagai operator di jambatan berkenaan yang akan dipantau dan dilatih oleh pihak kontraktor utama sehingga 30 September ini.

Katanya lagi, industri pelancongan negeri juga pasti akan terus rancak berkembang dengan pembukaan drawbridge itu sekaligus mengangkat nama Terengganu di persada antarabangsa.

“Jambatan ikonik ini akan memberi impak kepada sektor pelancongan negeri Terengganu seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat di samping memperkenalkan negeri ini di mata dunia.

“Saya berharap agar agensi pelancongan dapat memasukkan lawatan ke jambatan angkat ini dalam salah satu pakej lawatan pelancong ke Terengganu, selain produk pelancongan sedia ada,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: