Monday, 29 July 2019

Dasar Wanita Terengganu Dijangka Siap Tahun 2020 - ADUN Wanita

SHARE
Zuraida bersama peserta Sambutan Hari Ibu dan Bapa Negeri Terengganu 2019.
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Kerajaan negeri sedang dalam usaha merangka Dasar Wanita Terengganu bagi melahirkan para wanita berilmu yang lebih berdaya saing sebagai pemacu generasi masa depan negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, dasar berkenaan dirangka selari dengan suasana masyarakat Terengganu sendiri berlandaskan al-Quran dan hadis.

“Awal tahun ini, kita telah melaksanakan Seminar Hala Tuju Wanita yang menghasilkan resolusi yang menjadi pemangkin pembinaan dasar ini.

“Kita juga sedang melaksanakan penyelidikan daripada pelbagai aspek yang diperlukan dan dijangka ia akan sempurna dalam masa enam bulan lagi,” katanya.

Pelantikan Zuraida merupakan sebahagian komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan wanita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri, Muhamad Noh Abdullah dan Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu (JPWKMT), Raja Kamariah Raja Abdul Rahman.

Program anjuran LPPKN yang diadakan seawal pagi tadi dimulakan dengan forum kekeluargaan bertajuk Pengukuhan Nilai Kekeluargaan Dalam Menangani Isu Sosial yang dihadiri lebih 400 peserta.

Sebahagian peserta yang hadir.
Antara aktiviti lain yang ditampilkan adalah pendaftaran ujian subsidi mamogram (saringan kanser payudara), HPV DNA (saringan kanser serviks), pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu serta Sudut Deklarasi Harapan Ibu Bapa (Wall Of Family Hopes) selain reruai pameran agensi kerajaan dan jualan usahawan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Terengganu.

Dalam program berkenaan, Zuraida turut menyerahkan Deklarasi Harapan Keluarga Negeri Terengganu untuk diangkat ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu, Mohamad Noh berkata, deklarasi tersebut merupakan pandangan dan harapan yang dikutip daripada ibu bapa di seluruh negeri untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan dan pembangunan negara bangsa.

“Kita berharap deklarasi ini dapat diperhalusi bagi tujuan penyelarasan dan diangkat sebagai Deklarasi Harapan Keluarga Kebangsaan," katanya.

PDRM turut membuka reruai penerangan berkaitan sistem Volunteer Smartphone Patrol (VSP).


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: