Tuesday, 9 July 2019

Dasar Perumahan Baru Akan Diperkenal Bulan Depan - MB Terengganu

SHARE
Dr. Ahmad Samsuri menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Mampu Milik (RMM) Tajin.
HULU TERENGGANU, 9 Julai - Kerajaan negeri akan memperkenalkan dasar perumahan swasta baharu termasuk projek rumah mampu milik (RMM) pada bulan hadapan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dasar baharu yang bakal dilaksanakan itu akan memberi perkhidmatan lebih mesra kepada golongan pemaju tanpa mengabaikan tanggungjawab mereka melaksanakan projek perumahan RMM di Terengganu.

Jelasnya, dasar baharu itu dirangka bagi mengkaji semula dasar perumahan kerajaan negeri yang digubal sejak Julai 2017 dan secara tidak langsung harga rumah akan lebih murah.

"Kita akan pertimbangkan antaranya tanah itu sendiri dan dengan dasar baharu ini kos tanah akan diminimakan supaya kos pembinaan rumah juga diturunkan.

"Kita juga terbuka dengan inisiatif daripada pihak swasta yang boleh menjadi pemaju tetapi ada syarat-syarat tertentu. Mungkin bagi pemaju swasta mereka kurang berminat kerana dari segi keuntungan, mereka akan kerugian berbanding mereka membuat rumah dengan harga yang lebih tinggi tetapi kita percaya mereka boleh terima," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan RMM Tajin dan Penyerahan Suratan Hakmilik Felcra Seberang Kuala Jeneris 1, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh, ADUN Ajil, Maliaman Kassim dan ADUN Telemong, Dato' Rozi Mamat.

Hadir sama, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Johan Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Samiun Salleh dan Pengurus Besar Wilayah Felcra Bahagian Timur, Zulkifli Sidek.

Ahmad Samsuri berkata, sebanyak 250 buah RMM akan dibina di Kampung Tajin yang dijangka dimulakan pada bulan hadapan di atas tanah seluas 10 hektar.

Menurutnya, projek pembinaan RMM bermula Jun ini dan dijangka siap pada 2021 adalah dengan kos RM68,000 yang akan dibangunkan oleh PMINT dengan kontraktor-kontraktor yang dilantik.

Sebahagian peneroka Felcra Seberang Kuala Jeneris 1 yang menerima suratan hakmilik hari ini.
Sementara itu, dalam majlis yang sama,  penantian hampir 41 seramai 62 peneroka Felcra Seberang Kuala Jeneris 1 kini berakhir apabila menerima suratan hakmilik masing-masing.

Ianya melibatkan keluasan 419.116 ekar dengan setiap peserta menerima enam ekar setiap seorang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: