Saturday, 27 July 2019

Dapur Kenyir 'Penampilan Baharu' Pengkalan Gawi Terengganu

SHARE
Sivarasa cuba memasak ikan bakar sambil diperhatikan Ariffin.
HULU TERENGGANU, 27 Julai - Rangkaian kedai makan di Pengkalan Gawi dijenamakan semula sebagai Dapur Kenyir dalam usaha meningkatkan potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan ulung negara.

Penjenamaan itu merupakan satu daripada tiga aspek yang diperkemaskan sempena Festival Kenyir 2019 yang berlangsung sepanjang 25 hingga 28 Julai ini.

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa K. Rasiah menyatakan, pembaharuan yang dibawa  dalam festival kali ini membantu merancakkan industri berkenaan.

Ukiran kayu antara tarikan Festival Kenyir.

"Selain penjenamaan Dapur Kenyir, Kenyir Street yang diketengahkan penganjur turut menampilkan produk tradisional negeri selain sukan air yang menarik perhatian ramai.

"Tahun ini, kita menyasarkan 80,000 pelancong akan berkunjung ke Festival Kenyir dengan sasaran pendapatan sebanyak RM1.6 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan festival tersebut yang berlangsung di Pengkalan Gawi, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato' Zulkifli Mohamad dan Pengurus Besar KETENGAH, YM Tengku Ahmad Nazdri Tengku Musa.

Dalam perkembangan sama, Ariffin memaklumkan, kerajaan negeri komited mempromosikan keindahan dan tarikan pulau-pulau di Tasik Kenyir.

"Kita juga sedang berusaha menyiapkan kemudahan, antaranya jambatan yang dijangka selesai pada hujung tahun ini dan hotel setinggi lapan tingkat dijangka siap pada Mac depan," katanya.

Festival Kenyir telah diadakan sejak 1994 sebagai mempromosikan Tasik Kenyir dan keunikan alam semula jadinya kepada umum.

Sebanyak 35 acara diadakan dengan penglibatan artis-artis selain penyertaan masyarakat setempat yang memperkenalkan budaya tempatan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: