Saturday, 13 July 2019

Bantuan Mangsa Ribut Kampung Sungai Las Disegerakan - Azmi Maarof

SHARE

Oleh: Ariss Alias

SETIU, 13 Julai - Beberapa buah rumah yang rosak akibat kejadian ribut yang berlaku di Kampung Sungai Las semalam akan di beri bantuan segera.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, "kepala angin" menyebabkan atap zink stor masjid dan beberapa buah rumah tercabut.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof berkata bantuan segera akan diberikan bagi meringankan beban mangsa.

Katanya, beliau sudah memberi arahan kepada Pengerusi MPKK Sungai Las, Azrul Salleh untuk mengambil maklumat keluarga dan rumah yang mengalami kerosakan.

"Saya sempat melihat sendiri kejadian 'kepala angin' ini yang menerbangkan atap zink stor masjid yang mana berhadapan dengan balairaya.

"Beberapa batang pokok seperti pokok durian dan rambutan juga tumbang namun Alhamdulillah tidak ada yang menjadi mangsa,"katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemu bual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman semasa membuat lawatan ke stor masjid dan beberapa buah rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut di Kampung Sungai Las, petang semalam.

Sementara itu, Azrul Salleh berkata, beliau akan mengadakan gotong-royong membantu mangsa pada hari kejadian termasuk mengalihkan beberapa batang pokok yang tumbang menghalang laluan jalan.

"Untuk pagi esok kita fokus pula untuk potong dan alih pokok tumbang di halaman rumah penduduk pula.

"Ini termasuk pemasangan atap zink stor masjid dan atap rumah penduduk juga akan dilaksana dengan segera.Terima kasih kepada Encik Azmi yang cepat salurkan bantuan,"tambahnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: