Monday, 15 July 2019

Bakal Haji Disaran Guna Peluang Ibadah Sebaiknya

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 15 Julai - Bakal haji yang akan berangkat menunaikan rukun Islam kelima itu diharap agar menggunakan masa dan peluang sebaiknya untuk melaksanakan amal ibadah di Mekah dan Madinah nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, bukan semua orang berpeluang menerima jemputan ke tanah suci.

“Bagi yang terpilih, jangan menghabiskan masa sekadar membeli belah atau mundar mandir di kota suci umat Islam itu.

"Perlu banyak laksanakan umrah, ibadah - ibadah sunat, barulah bermanfaat jika kita berada lebih lama di sana,” pesannya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Meraikan Bakal Jamaah Haji Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang di Surau Taman Rakyat Jaya, di sini, Sabtu lalu.

Alias yang juga merupakan Pengarah Majlis Tindakan DUN itu turut mengingatkan para jemaah supaya mengambil berat perkara-perkara yang boleh mengganggu kelancaran ibadah.

"Jaga kesihatan diri dan minum banyak air, kalau badan tidak sihat bimbang akan mengganggu ibadah haji kita. Kita hendak pergi menunaikan haji sudah sukar, jadi jaga kesihatan, " ujarnya.


Dalam majlis tersebut, seramai 76 orang yang akan menunaikan haji turut menerima cenderahati dan sedikit saguhati daripada Majlis Tindakan DUN.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: