Tuesday, 9 July 2019

'Ayuh Perantau, Kita Bangunkan Terengganu Bersama' - Wan Sukairi

SHARE
Wan Sukairi beramah mesra dengan anak perantau di Melaka.
MELAKA TENGAH, 9 Julai - Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) berperanan besar dalam membangun serta mencorakkan pentadbiran negeri bagi mencapai hasrat maju, berkat dan sejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu,  usaha membina sebuah negeri berdaya saing tidak hanya menjadi tanggungjawab pihak yang berjawatan dalam kerajaan.

Sebaliknya katanya, peranan itu harus dipikul secara bersama termasuk oleh anak-anak Terengganu di perantauan yang memiliki banyak kepakaran dan cara pandang yang berbeza.

"Apabila kita turun ke setiap negeri, kita mendapat banyak teguran dan pendapat untuk kebaikan negeri dan rakyat Terengganu, perkara ini sangat positif dan harus dilakukan sentiasa.

"Saranan seperti itu pada akhirnya akan menjadi manfaat kita bersama, contohnya isu insentif kelahiran anak yang diperluaskan kepada pasangan poligami, saranan asalnya adalah datang daripada perantau yang kemudiannya dipersetujui Menteri Besar," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Anak Perantau Melaka di Dewan Muaalim, Bukit Katil, di sini semalam.

Dr Azman sempat berceloteh dengan perantau yang hadir.
Hadir sama dalam majlis itu, Presiden PERANTAU, Prof. Dr Kamaruzzaman Yusof, Pengerusi PERANTAU Melaka, Dr Azlan serta Ketua Jabatan Pengurusan Korporat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Wan Faizul Wan Abas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim yang turut hadir juga bersetuju dengan seruan Wan Sukairi.

Kata beliau, usaha secara kolektif antara kerajaan dan rakyat termasuk anak-anak Terengganu di luar negeri mesti sentiasa berjalan pada setiap masa.

"Mari kita anak Terengganu, balik ke kampung halaman kita, kita majukan negeri kita dengan segala kepakaran yang kita miliki.

"Dengan itu, ia menjadi bukti bahawa walaupun kita duduk jauh dengan negeri, tetapi kita tetap berbakti pada tanah kelahiran kita yang secara tidak langsung kita turut sama mendapat manfaat," tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: