Wednesday, 3 July 2019

Anak Terengganu Jaguh Lumba Kereta

SHARE
Abdul Halim Abdullah.
Oleh Pok Abas

KUALA TERENGGANU, 2 Julai - Seorang anak Terengganu bertuah kerana akan mewakili 'Team Malaysia' dalam pertandingan lumba kereta berprestij,  Asia Auto Gymkhana Competition (AAGC) Rd1 2019 di Yokjakarta, Indonesia pada 11 Julai ini.

Seorang pelumba profesional, Abdul Halim Abdullah, 48, kini mengumpulkan segala keperluan termasuk kewangan dan penajaan bagi menyertai acara tersebut sekali gus berhasrat mengharumkan nama Terengganu dan negara  di persada antarabangsa melalui acara tersebut.

Beliau yang sebelum ini telah menyertai pelbagai kategori perlumbaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa itu akan menggunakan kereta berjenama Toyota dalam perlumbaan tersebut.

Abdul Halim yang juga seorang jurumekanik kenderaan berharap dapat mencapai kemenangan dalam acara itu sebagaimana kebanyakan pertandingan yang beliau sertai sebelum ini.

"Harapan saya memang nak menang, akan cuba sedaya upaya untuk naikkan nama Malaysia dan Terengganu di persada dunia," ujar beliau.


Abdul Halim  berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bukit Kecil, di sini semalam.

Pegawai Penyelidik Menteri Besar, Ustaz Ahmad Kamal Ali  menyampaikan sumbangan wang sebagai galakan penyertaan Abdul Halim dalam pertandingan itu.

Turut hadir dalam perjumpaan itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Mohd Zaim Azfar Muhamad dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Ladang, Mohamad Umbaidah Tengah.

Menurut Abdul Halim, beliau telah banyak kali menyertai acara perlumbaan kereta  sejak memulakan karier berkenaan awal tahun 2000.

"Peringkat awal kita main 'Drag' di Terengganu dan Jempol dan kenangan paling manis  apabila muncul juara dan mendapat hadiah lumayan yang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang, di Indera Mahkota, Kuantan Pahang.


"Di Thailand pernah dapat juara, pernah menang tempat kedua dan di Singapura pernah dapat nombor tiga dengan kategori open menggunakan jentera Myvi 1.3 auto," tambah beliau.

Abdul Halim cukup berminat bidang berkenaan di awal usia muda dengan mernyertai  perlumbaan motor 'Cub Prix' dan pernah mengalami kemalangan yang serius sebelum bertukar ke bidang perlumbaan kereta.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: