Wednesday, 17 July 2019

'Anak Jati' Taruhan Terengganu FC 2020

SHARE
Hishamuddin sasar majoriti bakat anak negeri barisi TFC 1 dan TFC 2. 
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Terengganu Football Club (TFC) bakal menampilkan lebih ramai pemain anak negeri itu dalam saingan musim hadapan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim menyasarkan sekitar 80 ke 85 peratus ‘ubi’ hasil pembangunan negeri itu akan membarisi skuad Terengganu FC 1 dan Terengganu FC 2 dalam saingan musim baharu nanti.

“Kita berhasrat menggunakan majoriti pemain terdiri daripada anak Terengganu sebagai salah satu usaha mengangkat bakat-bakat muda kita yang semakin menyerlah dalam pelbagai peringkat.

“Lebih-lebih lagi dengan perkembangan yang berlaku pertengahan musim ini, di mana beberapa pemain yang dimanfaatkan dari kelab ‘feeder’ menunjukkan hasil positif,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh bagaimanapun menegaskan kekal dengan pendirian tidak mencampuri pengurusan pasukan di bawah pemangku jurulatih, Nafuzi Zain.

“Sewaktu mengambil alih PBSNT tahun lalu, ketua jurulatih ketika itu, Irfan Bakti Abu Salim kurang cenderung membariskan ‘anak jati’ dan kita hormati keputusannya.

Barisan pemain TFC 4 yang berjuang dalam saingan Piala Belia 2019. Foto: Media TFC.
“Sebaliknya, Nafuzi kali ini lebih optimis mengetengahkan bakat muda negeri, disebabkan itu kita menyuarakan hasrat ini dan disambut baik olehnya,” katanya.

Mohammad Rahmat Makasuf menjadi pemain terbaru yang dinaikkan daripada Terengganu FC 2 musim ini selepas Abdul Shukor Jusoh dan Muhamad Hafizal.

Manakala, Shahrin Sapien, Muhamad Fauzi, Haidir Husani dan Izzan Syahmir Mustafa terpilih mewakili Terengganu FC 1 pada awal musim.

Hari ini, PBSNT mengumumkan tiga pemain Skuad Terengganu FC 4 berusia bawah 18 tahun iaitu Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid,  Muhd Rahadi Azli Rahalim dan Muhammad Azam Azmi Murad yang disenaraikan menyertai kem latihan dan pemilihan pusat skuad B-18 Kebangsaan bermula 20 Julai ini, menjelang kejohanan B-18 AFF 2019 di Vietnam.       

Skuad yang mereka wakili juga menunjukkan prestasi terbaik apabila layak ke peringkat suku akhir Piala Belia 2019 setelah memungut  49 mata dalam saingan kumpulan jauh meninggalkan pasukan di tangga kedua dengan jarak 16 mata dengan rekod 16 kemenangan, 1 seri dan hanya 1 kekalahan dengan baki dua perlawanan di tangan.

Manakala, Terengganu FC 3 mengukuhkan langkah dalam saingan Piala Presiden 2019 setelah menewaskan Kelantan B-21, 3-1 untuk berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan 39 mata, sembilan mata di belakang pendahulu, PKNS FC.

Barisan pemain TFC 3 dalam saingan Piala Presiden 2019. Foto: Media TFC.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: