Wednesday, 31 July 2019

Anak Felda Mampu Jana Lebih RM30 Ribu Menerusi Tanaman Cili Fertigasi

SHARE


Oleh: Ariss Alias

SETIU, 31 Julai-  Bagi seorang usahawan tani di Felda Chalok Barat, dekat sini, Muhammad Hafizuddin Adenan,28, dia percaya cili adalah salah satu tanaman yang mampu membuka peluang kepada anak muda sepertinya untuk memperoleh pendapatan yang lumayan.

Berbaloi dengan mengusahakan tanaman tersebut, Hafizuddin mampu meraih pulangan lebih daripada RM 30,000 pada tuaian pertama sekaligus membuktikan slogan ‘pertanian adalah perniagaan’ yang boleh memberi keuntungan sekiranya mempunyai minat dan usaha yang berterusan.

Menceritakan saat-saat awal, bekas pekerja swasta  itu melihat peluang luas dalam bidang pertanian ketika menuntut jurusan Perniagaan Tani di Kolej Profesional Mara (KPM) Beranang, Selangor.

Selepas pulang ke kampung, dia menimba pengalaman bekerja dengan usahawan tani tanaman pisang di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Rhu Tapai, Setiu sebelum nekad mengusahakan tanaman cili di tanah seluas satu ekar milik saudara maranya.


“Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang pertanian, sebelum ini saya pernah mengambil keputusan bekerja di Kuala Lumpur di sebuah syarikat reka bentuk laman web semata-mata untuk mengumpul modal selamat dua tahun.

“Saya pulang ke sini pada pertengahan tahun 2018 dan mula mengambil kursus fertigasi tanaman cili di GM Peladang selama dua hari dan berbekalkan modal hampir RM25,000 yang dikumpul, saya bermula dengan menanam sebanyak 1,500 pokok cili variety SJ2-461 atau dikenali sebagai kulai 461 di kalangan usahawan fertigasi,” ujarnya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di ladangnya di sini, semalam.

Hafizuddin memberitahu, usaha itu berbaloi kerana pada peringkat permulaan dia mencuba kaedah tersebut di kawasan halaman rumah sebanyak 100 polibeg dan membuahkan hasil berkualiti tinggi.

“Sejak itu, saya mula yakin dapat terus maju ke hadapan. Saya terus mencari ilmu, kali ini dengan Mohd Bukhari Mohd Noor seorang pengusaha tanaman cili berjaya yang banyak berkongsi ilmu dan memberi nasihat.

"Kutipan dibuat dua hari sekali, kebiasaannya dalam 100 kilogram (kg) hingga 200 kg namun pernah mencecah 300 kg hingga 400 kg setiap kutipan," ujarnya.


Katanya yang baru sahaja selesai membuat tuaian pertama dan dalam fasa tuaian kedua, tanaman cili ini kebiasaannya mempunyai tiga fasa dan mampu ke fasa keempat sekiranya penjagaan terbaik dilaksanakan.

“Pokok cili ini boleh bertahan selama enam bulan ke atas dan dijangkakan mampu memberikan pulangan sama pada setiap tuaian.

“Pasarannya pula sangat luas dan boleh dikatakan tidak mencukupi. Biasanya bekalan dihantar sendiri pada setiap malam kepada peniaga di Kuala Terengganu selain ke Pasaraya Zua Permai Trading di Bandar Permaisuri sekali seminggu.

Katanya, dia turut menanam 100 pokok Varieti Cili Solok dengan nombor pendaftaran CA4 yang mana hanya cukup untuk pasaran sekitar kampung ini sahaja.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof yang dihubungi berkata, anak muda digalakkan menjadi usahawan dalam bidang pertanian.

“Mereka boleh memohon tanah kerajaan yang terbiar dalam bentuk Lesen Menduduki Sementara (LMS) untuk diusahakan dengan tanaman kontang seperti nanas, jagung, labu, tembikai, sayur-sayuran dan lain-lain lagi.

“Semoga kejayaan Hafizuddin dapat menjadi contoh kepada anak muda yang lain. Seseorang itu mampu berjaya jika mempunyai kesungguhan,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: