Tuesday, 9 July 2019

Alur Limbat Sejahtera Wakili Marang Kejohanan Bola Jaring Piala ADUN Wanita Terengganu

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 9 Julai - Pasukan Alur Limbat Sejahtera muncul juara Kejohanan Tertutup Bola Jaring Piala ADUN Wanita peringkat kawasan Marang sekali gus melayakkan diri ke peringkat akhir kejohanan tersebut.

Isteri Ahli Parlimen Marang, Dr. Norzita Taat beranggapan, sukan bola jaring mampu menjadi salah satu wadah bagi memupuk budaya aktif bersukan di kalangan muslimat muda bermula dari peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kawasan dan seterusnya negeri.

"Pendedahan seperti ini perlu dilaksanakan secara berterusan supaya impaknya dirasai seterusnya meningkatkan kesihatan dan kualiti kehidupan wanita.

“Akal yang sihat lahir daripada badan yang cergas. Kata-kata ini membuktikan betapa pentingnya aturan hidup disulami dengan aktiviti sukan yang akhirnya akan mengharmonikan perjalanan hidup seseorang.

“Islam telah memberi garis panduan yang sempurna untuk bersukan. Maka, jadilah hamba Allah SWT yang akur dengan syariat-Nya walaupun ketika bersukan kerana Dia Maha Tahu akan fitrah ciptaan-Nya,” ucapnya sewaktu merasmikan pertandingan Bola Jaring Kawasan Marang di Maecon Sport Center, Kelulut, baru-baru ini.


Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Zarani Othman, Pengarah Program, Asma Abdullah serta Ahli Jawatankuasa Ameerah Kawasan Marang.

Pertandingan tersebut disertai tujuh pasukan mewakili empat DUN dari seluruh kawasan Marang. 

Bagi penganjuran kali ini, DUN Alur Limbat Sejahtera dinobatkan sebagai johan pertandingan.

Manakala,naib johan dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh Bukit Payung Satu dan Bukit Payung Dua.

Dr. Norzita turut menegaskan bahawa pertandingan sebegini dapat memupuk nilai-nilai positif serta membentuk modal insan yang berkualiti.


“Di samping itu, program ini juga akan membina semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk mengukur keupayaan diri masing-masing," katanya.

Selaras dengan hasrat dan tujuan perlawanan itu, beliau berharap agar pemain yang bakal mewakili kawasan Marang nanti dapat memberi komitmen dan seterusnya berusaha mendapatkan pingat untuk mengharumkan nama kawasan Marang.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: