Wednesday, 10 July 2019

Aktiviti Pelancongan VM2020 Sehingga 16 September Ini

SHARE
Ustaz Ariffin Deraman
KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Kerajaan negeri merancang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dengan pelbagai aktiviti menarik, kreatif, berkesan dan terlihat (visible) sehingga 16 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ini termasuk Pertandingan Akhir Dikir Barat Sekolah-sekolah Menengah Negeri Terengganu di Pantai Peranginan Kelulut Marang (26 Julai).

Terengganu CFA International Cat Show di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak Kuala Nerus (20-21 Julai), Festival Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir Hulu Terengganu (25-28 Julai).

Pekan Budaya Jom Singgoh Daerah Marang, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman (Julai hingga September), Karnival Pantai Terengganu di Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu (12-16 September).

Road Show Beautiful Terengganu yang akan melibatkan mini travel fair, tourism talk bersama penggiat industri pelancongan dan duta-duta kecil di negeri-negeri terbabit.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Katanya, melalui portfolio beliau, satu Pelan Strategik Pelancongan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu 2019-2023 telah disiapkan dan akan sentiasa mengadakan pelbagai promosi dan acara menarik sepanjang tahun ini.

"Apa lagi ia lebih rancak dengan adanya produk-produk pelancongan yang menarik dan terkini seperi 'drawbridge' yang menjadi mercu tanda baharu yang menjadi viral sekarang ini," jelasnya.

Katanya, pelan strategik yang disediakan tersebut merupakan satu dokumen rujukan yang menentukan halatuju strategik jabatan.

"Visi yang diwujudkan iaitu untuk mencapai sasaran 6.5 juta pelancong datang ke negeri Terengganu dan menerima RM6 bilion pendapatan pada tahun 2025 dengan misi untuk menarik dan meningkatkan kedatangan pelancong.

"Mereka berbelanja (wang mereka) melalui peningkatan daya tarikan dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti tinggi serta menjadikan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi," jelasnya.

Katanya, Terengganu mencatat kedatangan 4.79 juta pelancong pada 2018..

"Kadar kedatangan pelancong tahun ini akan dimaklumkan awal tahun depan tetapi dijangka merosot kerana masalah ekonomi global.

"Kerajaan mensasarkan pelancong domestik berbanding pelancong asing memandangkan kedatangan pelancong asing ke Malaysia agak berkurangan setahun dua ini," jelas beliau.

Sementara itu, pembinaan sebuah hotel di Pulau Poh dijangka siap Mac ini sekali gus akan diadakan lawatan ke beberapa tempat termasuk pulau berkenaan dan Pulau Bayas di Tasik Kenyir Sabtu ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: