Monday, 15 July 2019

ADUN Perlu Mainkan Peranan Secara Konstruktif - YDP Terengganu

SHARE
Yahaya Ali.
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu berperanan secara konstruktif untuk menyuarakan kepentingan rakyat dalam sidang dewan.

Yang Dipertua DUN, Yahaya Ali berkata, sesiapa sahaja yang diberi kuasa memerintah sama ada sekarang atau akan datang mestilah mempunyai keazaman politik (political will) bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

"Lebih-lebih lagi , ahli-ahli Yang Berhormat baru saja mendapat suntikan semangat dan ilmu pengetahuan selepas mengikuti bengkel literasi ADUN & Ahli Parlimen yang memberi pendedahan tentang peranan mereka sebagai 'legislator'.

"Justeru itu, semua pihak harus memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab ini secara konstruktif terutama dalam sidang yang berlangsung dalam tiga atau empat bulan sekali," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua DUN Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Yahaya juga berkata, sebagai ADUN, mereka tidak boleh berada dalam zon selesa (comfort zone) dan mesti sentiasa bermuhasabah.

"Sebagai ADUN, mereka perlu memainkan peranan yang berkesan termasuk peranan semak dan imbang (check and balance) kepada segala perancangan dan pelaksanaan kegiatan kerajaan (badan eksekutif).

"Apa yang penting adalah usaha untuk meningkatkan diri  bagi memainkan peranan secara berkesan," tambahnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha untuk meningkatkan diri bukan sahaja dari segi kemahiran berucap tetapi juga dari aspek ilmu pengetahuan dan penguasaan dalam memahami urusan pentadbiran kerajaan termasuk aspek kewangan, pengurusan sumber manusia, pembangunan dan sebagainya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: