Sunday, 7 July 2019

83 Bakal Haji Dun Sura Dirai

SHARE

Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 7 Julai- Seramai 83 orang bakal haji dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura diraikan dalam satu majlis anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, majlis yang dianjurkan itu merupakan program tahunan di DUN tersebut.

“Tujuan kita mengadakan majlis ini bagi berkongsi kegembiraan apabila ada dalam kalangan jemaah dari tempat ini dapat menunaikan haji, majlis sebegini kita adakan setiap tahun meraikan tetamu Allah.

“Dalam majlis ini, kita turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada setiap bakal haji dan saya mendoakan segala urusan mereka dipermudahkan dan diberkati dengan mendapat gelaran haji mabrur disisi Allah S.W.T,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal Jemaah Haji Tahun 1440H di Surau Tuan Guru Haji Zainal Abidin.


Wan Hapandi turut mengucapkan tahniah kepada semua yang bakal dan telah berlepas kerana terpilih untuk menunaikan rukun Islam yang kelima berkenaan.

Beliau turut menasihatkan para jemaah haji agar sentiasa menjaga kesihatan sepanjang berada di bumi barakah dan sentiasa menjaga peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Tabung Haji (TH).

"Di sana bakal jemaah akan merasai cabaran ibadat haji yang sebenar-benarnya dan jutaan umat Islam dari seluruh dunia akan berada di tempat yang sama.

"Jemaah haji perlu menjaga kesihatan bermula dari sekarang, lakukan senaman ringan, dapatkan rehat yang secukupnya dan ikutlah nasihat doktor dalam penjagaan kesihatan termasuk makan ubat agar kekal sihat sebelum berlepas ke Tanah Suci," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: