Monday, 29 July 2019

70 Peratus Peniaga Pasar Besar Kedai Payang Berpindah Ke Pasar Payang 2

SHARE

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Pasar Payang 2 mula beroperasi sejak beberapa hari lalu setelah hampir 70 peratus peniaga Pasar Besar Kedai Payang mula berpindah dan memulakan operasi perniagaan di lokasi sementara itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, selama tiga hari beliau membuat tinjauan di bangunan sementara yang akan menempatkan seramai 762 lot perniagaan untuk melihat sendiri bagaimana dan apakah masalah yang akan dihadapi oleh  para peniaga yang terlibat.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, tidak timbul sebarang masalah dan rata-rata peniaga kelihatan dapat menyesuaikan diri di tempat baharu serta perpindahan berjalan dengan lancar.

“Sehingga hari ini, ia masih dalam proses perpindahan yang mana mereka akan mengalami pembangunan seterusnya dan 70 peratus telah pun berpindah ke tempat yang baharu sementara bakinya, saya yakin sebelum 1hb Ogos ini akan capai 90 peratus yang akan berpindah.

“Saya berada di sini selama tiga hari dan melihat proses perpindahan terutama kedai emas yang agak complicated (sukar) kerana melibatkan peti besi dan sebagainya di mana kita meninjau segala proses.

"Secara umumnya, saya berterima kasih kepada peniaga khususnya pihak persatuan yang telah bekerjasama baik dengan pihak kerajaan negeri dalam memastikan proses perpindahan ini berjalan dengan lancar dan sempurna,” kata Ahmad Amzad,

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas membuat tinjauan ke Pasar Payang 2, di sini hari ini.


Dalam perkembangan lain, Ahmad Amzad berkata, tidak mustahil akan timbul beberapa masalah yang akan dikenal pasti  dalam proses perpindahan yang melibatkan mana-mana pembukaan pasar yang baharu.

“Dan mana-mana pembukaan pasar baharu, memanglah akan sentiasa ada masalah-masalah akan dikenal pasti dalam proses perpindahan ini.

"Contohnya, kita ada beberapa kelompok peniaga yang masih belum diselesaikan  dari segi pesediaan tapak, misalnya peniaga sayur dan pasar ikan termasuk lot untuk keropok masih belum disiapkan sepenuhnya yang dijangka siap dalam berapa hari lagi.

“Ada beberapa permasalahan yang telah diutarakan, antaranya berkait dengan isu ruang yang panas, jadi kita bincangkan bersama untuk perbaiki keadaan dan saya percaya ini sudah berada dalam tindakan Exco yang berkaitan dan pihak majlis bandaraya,” jelasnya lagi.

Tambahnya, walaupun dalam 70 peratus sahaja peniaga yang telah memulakan operasinya, pasar baharu ini telah pun menarik banyak pihak terutama di kalangan pelancong yang rata-rata melahirkan rasa tertarik dengan konsep dan susun atur yang ada.

“Ada peniaga yang ditemui melahirkan rasa teruja kerana tidak menyangka baru dua hari duduk di sini, hasil pendapatan dia dalam sehari jauh lebih baik dari tempat lama.

“Saya syukur dengan komuniti di sini yang sangat memberi kerjasama dan peranan persatuan itu sendiri. Ianya menjadi hasrat kerajaan untuk menjalin kerjasama yang baik dengan peniaga dalam menarik pelancong dan pada masa yang sama melonjakkan perniagaan yang ada di negeri ini,” kata beliau.

Amzad juga berpesan kepada para peniaga supaya menitikberatkan penjagaan kebersihan bermula dari awal hingga ke akhir supaya budaya ini berkekalan dan memberi imej yang baik kepada negeri Terengganu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: