Tuesday, 30 July 2019

24 Peserta RTB Kampung Dendang Terima Harapan Baru

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 30 Julai - Seramai 24 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kampung Dendang telah menerima borang 5A.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, penerimaan borang berkenaan menandakan bahawa 80 peratus tanah tersebut akan dimiliki oleh peserta sepenuhnya, setelah sekian lama mengusahakan tanah berkenaan.


"Cuma, peserta perlu selesaikan pembayaran premium dalam tempoh tiga bulan sebagaimana ditetapkan.

"Jika terlewat, peserta akan dikenakan denda amanah. Walaupun ada tempoh penangguhan setelah gagal menyempurnakannya dalam tiga bulan, lebih baik jika disegerakan kerana akan memudahkan urusan serta menamatkan penantian sekian lama untuk mendapatkan geran kekal," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Majlis Penyerahan Borang 5A bagi RTB Kampung Dendang di Balairaya kampung berkenaan, Ahad lalu.



Majlis berkenaan turut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Ghazali menjelaskan, tempoh pajakan yang diberikan sebelum ini adalah 60 tahun.

"Di bawah kerajaan yang baharu ini peserta boleh memilih sama ada untuk membuat pajakan selama 60 ataupun 99 tahun.

"Bagaimanapun, bayaran premiumnya sedikit berbeza, iaitu sekitar RM500. Namun, terpulang kepada peserta untuk membuat pilihan," katanya.

Peserta RTB Kampung Dendang mengusahakan tanaman Kelapa Matag dan telah membuat permohonan semenjak tahun 2007 sebelum diurus kembali perjalanannya oleh Pegawai Penyelaras pada tahun 2018.

Agihan borang kepada peserta Kampung Dendang merupakan kali ketiga di kawasan Bukit Besi setelah peserta RTB Kampung Besol dan peserta RTB Kampung Seren memperolehinya sebelum ini.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: