Sunday, 7 July 2019

16 Pasukan Rebut Piala ADUN Jabi

SHARE


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 6 Julai- Sebanyak 16 pasukan berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Piala ADUN Jabi 2019 yang diadakan di Padang Bola Kampung Kerandang.

 Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, menjadi kelainan pada tahun ini apabila kejohanan tersebut turut disertai warga Siam namun etika pemakaian tetap ditekankan bagi mendidik anak muda agar sentiasa menutup aurat dalam apa jua keadaan.

“Matlamat tidak menghalalkan cara malah Islam tidak menghalang untuk bersukan. Namun ikutilah garis panduan dan bertandinglah dengan penuh semangat kesukanan.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tirai Kejohanan Bola Sepak Piala ADUN Jabi di Padang Bola Kampung Kerandang, semalam.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, pelbagai agenda disediakan Kerajaan Negeri tanpa mengetepikan anak muda bagi membentuk generasi yang sihat.

Menurutnya, segala penambahbaikan dari segi struktur kejohanan yang baru seperti perlawanan Liga Timbal Balik akan diolah di masa akan datang supaya dapat menghidupkan kembali padang-padang bola di seluruh DUN Jabi.


“Apabila kejohanan  berlaku dalam tempoh  masa yang lebih panjang, anak-anak muda kita ada sesuatu untuk mengisi  hari-hari mereka dengan  aktiviti yang  mencorakkan cara hidup  yang sihat malah  kita rasa tidak berbaloi dengan beli jersi, kasut , bola, berlatih  dan membuat persiapan padang hanyalah  untuk  satu tempoh kejohanan  yang singkat.

“ Jadi dalam rangka awal, kita akan wujudkan dua division (kelompok liga) di Jabi. Lapan pasukan teratas  akan berada di division satu dan lapan pasukan lain akan  berada di division dua,” ujarnya.

Katanya, kejohanan tahun hadapan diharap dapat berjalan dalam suasana baru dan lebih meriah dengan menjelajah ke seluruh padang bola dalam DUN Jabi seperti di Felda Selasih, Kepala Gajah, Bukit Tanah, Tempinis dan kampung-kampung lain akan dihidupkan.

Pada kejohanan tersebut, perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Felda Selasih FC dengan jaringan lima gol tanpa balas dari Kerandang FC.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: