Tuesday, 16 July 2019

106 Pemohon Terima Manfaat Dari Skim Bantuan Modal Tani Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Seramai 106 pemohon telah diluluskan permohonan mereka untuk menerima manfaat dari Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) melibatkan dana berjumlah RM2.82 juta sejak mula dilancarkan pada 29 Januari 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, jumlah dana  ini sudah melebihi separuh daripada keseluruhan peruntukan SMBT sebanyak RM5 juta yang diperuntukkan kepada golongan petani, nelayan dan penternak bagi 2019.

“Sektor utama yang mendapat tumpuan pemohon adalah pertanian secara fertigasi, perusahaan akuakultur, penternakan ayam, itik, lembu, kerbau dan kambing serta peralatan dan kelengkapan nelayan termasuk pengusaha pembenihan kerapu hybrid.

“SMBT menawarkan kepada rakyat pinjaman patuh syariah tanpa faedah dengan hak pembiayaan maksimum RM50,000,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, isu utama yang menjadi fokus kepada Urusetia SBMT adalah maklumat dari kewujudan dana ini perlu sampai kepada rakyat yang mana mereka perlu tahu bahawa kerajaan negeri berusaha membantu menangani masalah dan kekangan modal yang dihadapi untuk memulakan projek dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

“Setelah dilancar pada 29 Januari, Urusetia SBMT telah turun ke serata negeri sebanyak 22 lokasi dalam program jelajah SBMT dengan membuat 'billboard', siaran media, siaran di masjid dan surau serta memanfaatkan ruang yang ada dalam media baru supaya  maklumat boleh sampai kepada rakyat.

“Ini kerana kita belajar dari pengalaman kegagalan DUTA (Dana Usahawan Tani) yang telah diperuntukkan sebanyak RM500 ribu namun tidak mampu dihabiskan  dalam tempoh tiga tahun. Antara isu utama adalah rakyat tidak pernah dengar perkataan DUTA itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ridzuan.

Jelasnya, biarlah kelompok masyarakat tani mendapat maklumat yang jelas dan mereka boleh pergi kepada saluran yang betul untuk memohon bantuan yang diperlukan.

Azman berkata, SBMT menyediakan bantuan dalam bentuk barangan kelengkapan, peralatan atau kemudahan untuk memulakan sesuatu projek dan bukannya wang tunai kerana berdasarkan kajian  daripada  beberapa skim pinjaman mudah yang disediakan oleh pihak kerajaan sebelum ini menemukan kegagalan yang berpunca daripada salah guna.

“Dalam borang, pemohon  isi nak pelihara kambing, bila tengok rumah ada motor baharu, bukan kita marah rakyat beli motor tetapi tidak sampai kepada matlamat untuk kita bantu rakyat mulakan projek mereka dan sebab itu Urusetia SBMT akan membekalkan barangan sehingga rakyat boleh bekerja,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, antara langkah yang diambil bagi memastikan  kejayaan SBMT termasuklah pasukan teknikal dari jabatan-jabatan berkaitan akan melakukan lawatan ke tapak supaya dapat memastikan bahawa ada tapak  untuk diusahakan dan pemohon ada keupayaan dan kesungguhan walaupun mereka tidak mempunyai dokumen yang lengkap. Atas kesungguhan tersebut, kerajaan negeri akan membantu mereka yang memerlukan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: