Sunday, 30 June 2019

Tindakan Segera Atasi Masalah Air Bertakung

SHARE

BESUT, 30 Jun - Masalah air bertakung melibatkan 20 penduduk dan kawasan ladang sawit di Kampung Baruh Keranji akan diambil tindakan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, permasalahan yang berlaku adalah berikutan dua punca.

"Antara puncanya dikatakan selepas terbinanya dua kawasan sekatan air menyebabkan air lambat keluar dan (mengakibatkan) air melimpah serta bertakung di dalam ladang kelapa sawit berdekatan.

"Rentetan tersebut menyebabkan puluhan hektar tanaman kelapa sawit tidak dapat mengeluarkan hasil," jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika dihubungi pemberita semalam, mengulas tentang masalah yang berlaku.

Menurutnya, beliau telah menerima aduan rakyat daripada penduduk Kampung Baru, Batu Tumboh mengenai saliran air  tersumbat di dalam ladang kelapa sawit yang menyebabkan tiada hasil tanam oleh pohon sawit di situ.

Kata Nurkhuzaini, setelah diteliti, beliau telah mengenal pasti punca masalah tersebut.

Justeru itu, beliau akan mewujudkan jawatankuasa bertindak dalam kadar yang segera dengan melibatkan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah Besut (MDB), Pejabat Daerah Besut, Jabatan Bomba dan Jabatan Alam Sekitar bagi mencari jalan penyelesaian segera dalam jangka panjang.

"Insya-Allah saya akan usulkan kepada pihak yang bertanggungjawab mengurus isu saliran air yang tersumbat di ladang sawit itu.


"Ia termasuk dengan membuat pembaikan kadar segera supaya memudahkan urusan kerja penduduk yang bekerja di dalam ladang sawit itu," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: