Wednesday, 12 June 2019

Terima Kasih Kerana Jayakan Majlis Ini - MB Terengganu

SHARE
Para petugas turut merakamkan gambar kenangan bersama pemimpin nombor satu negeri itu.
MARANG, 12 Jun - Menteri Besar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan ucapan terima kasih kepada jentera petugas dan penganjur yang telah menjayakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Rhu Rendang dengan baik.

“Terima kasih kepada jentera dan petugas yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini.

“Dengar khabar, sejak tengah malam tadi, mereka telah mula memasak secara bergotong-royong dan membahagikan tugas untuk menyediakan juadah terbaik kepada tetamu,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), hari ini.

Beliau yang hadir bersama isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman turut memuji kecekapan petugas Jabatan Amal Malaysia yang lancar mengawal lalu lintas dan memudahkan pengunjung yang datang.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim serta ADUN Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Dalam majlis itu, Dr. Samsuri meraikan pengunjung dengan beramah mesra dari meja ke meja selain melayan permintaan orang ramai yang tidak melepaskan peluang bergambar dengan pemimpin nombor satu negeri itu.

Hampir 5,000 pengunjung hadir terdiri daripada penduduk setempat serta agensi-agensi kerajaan dan syarikat swasta sekitar Rhu Rendang dan daerah Marang.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: