Wednesday, 26 June 2019

Terengganu Sambut Baik Cadangan Laluan Penerbangan Baharu AirAsia - MB

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Kerajaan negeri bersetuju dengan rancangan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) untuk mengkaji dan menimbangkan semula beberapa laluan penerbangan baharu di negeri ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut dibincangkan bersama Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Katanya, kerajaan negeri merasakan terdapat keperluan laluan penerbangan baharu di negeri ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk tempatan selain merancakkan sektor pelancongan negeri.

“Ada beberapa perkara kita cuba bincang untuk meningkatkan ekonomi Terengganu khususnya termasuk aspek pelancongan negeri yang mana AirAsia juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan laluan tambahan di satu dua destinasi negeri ini.

“Ianya dalam pertimbangan dan belum dibuat keputusan lagi yang melibatkan laluan Kuala Terengganu ke Pulau Pinang, mengadakan kembali laluan Kuala Terengganu ke Johor Bahru dan yang sedang dikaji oleh mereka juga adalah laluan Kuala Terengganu ke China dan saya jangka mereka akan memberi keputusan dalam beberapa bulan lagi.

“Kerajaan negeri tidak ada masalah dan sangat menghargai jika ada keperluan dan kepentingan laluan baharu ini untuk meningkatkan jumlah pelancongan dan kemudahan penduduk tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Mengenai cadangan untuk mengadakan semula laluan-laluan tersebut, katanya, kerajaan negeri berharap ia dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

“Laluan-laluan ini perlu dipertimbangkan untuk diadakan semula dengan melihat potensi baharu yang ada di Terengganu sekarang ini dengan adanya Drawbridge dan tempat lain termasuk Kenyir dan sebagainya.

“Namun, ianya juga perlu kepada kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sendiri untuk merangka dan menawarkan pakej menarik kepada pelancong,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: