Monday, 24 June 2019

Terengganu Rangka Modul Bimbing ‘Mak Nyah’

SHARE
Mohd Nor Hamzah.
Oleh : Afif Fidee

KUANTAN, 24 Jun - Kerajaan Terengganu terus mengorak langkah dengan merangka modul khas untuk membimbing golongan ‘Mak Nyah’ keluar daripada dunia tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, gejala yang berlaku itu tidak mampu dibasmi dan dibersihkan hanya dalam tempoh satu tahun pentadbiran.

Justeru jelasnya, kerajaan sedang merangka modul baharu untuk mengeluarkan mereka daripada budaya itu.

“Kita juga sedang bergerak untuk membangunkan insan melalui beberapa perkara yang sedang disusun, modul ini melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), mahasiswa (belia) dan pelajar sekolah.

“Bahkan termasuk juga modul untuk ‘Mak Nyah’, golongan-golongan yang perlu kita selamatkan mereka daripada budaya songsang itu dan kita sedang bina dengan cermat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Komples Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini semalam.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut mengakui terdapat kekurangan dalam mengendalikan beberapa perkara demi memenuhi kehendak semua pihak.

Katanya, hasrat murni kerajaan negeri untuk membina masyarakat madani tersebut harus disambut baik oleh semua agensi yang terlibat bagi menjayakan agenda berkenaan.

“Saya tidak menafikan kekurangan yang ada, jauh sekali mengatakan Kerajan Terengganu yang ada pada hari ini cantik dan sempurna segala-galanya, tetapi itulah hasrat kita.

“Kita telah merangka dan menyusun beberapa agenda dalam dua portfolio, iaitu pelaksanaan syariat serta pembangunan insan dan dakwah, yang pertamanya kita akan dahulukan dakwah.

“Saya juga mengharapkan jabatan-jabatan agama yang ada memudahkan hasrat murni kerajaan negeri ini. Kita akan letakkan papan tanda berbetuk dakwah seperti hukum mendedahkan aurat, kebersihan dan maksiat lain yang perlu dijauhi,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: