Monday, 17 June 2019

Terengganu Bakal Lahirkan 70 Usahawan Perintis Pertama U-GATES Dan U-BES

SHARE
Mohd Nurkhuzaini (dua dari kiri) memperkatakan sesuatu kepada beberapa orang usahawan di Majlis Ramah Mesra Raya YPU.
KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bakal melahirkan kira-kira 70 orang usahawan perintis pertama Program Usahawan Graduan Sejahtera (U-GATES) dan Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, dari jumlah itu, 40 orang usahawan menyertai program U-GATES manakala selebihnya (30 orang) untuk program U-BES.

Katanya, mereka sedang menjalani kursus keusahawanan anjuran YPU dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) selama setahun bermula April lalu yang diadakan di Kuala Lumpur.

"Kerajaan negeri menggunakan peruntukan kira-kira RM500 ribu untuk membiayai program U-GATES manakala peruntukan tidak kurang dari RM100 ribu lagi untuk program U-Bes tahun ini," jelasnya.

Katanya, setiap peserta U-GATES diberi elauan sebanyak RM1,000 sebulan sebagai bantuan sara hidup selama mereka menyertai kursus tersebut.

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Tambahnya, mereka juga akan diberi geran sebanyak RM5,000 seorang untuk memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Ramah Mesra Raya U-GATES dan U-BES bersama Exco Kerajaan Negeri itu di Dewan Serba Guna YPU, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Anuar Awang dan Pengurus Pembangunan Usahawan YPU, Tengku Ahmad Shabirin Awalludin.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, peserta U-GATES terdiri daripada graduan universiti manakala peserta U-BES terdiri daripada belia berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

"Ada di kalangan mereka sudah pun mengorak langkah dalam pelbagai bidang usahawan termasuk perniagaan secara dalam talian, bidang penternakan, kulinari dan lain-lain," ujarnya.

Menurutnya, mereka adalah yang terpilih dari kalangan kira-kira 1,000 orang pemohon untuk menyertai program berkenaan.

"Mereka adalah insan yang bertuah kerana terpilih menyertai program tersebut dan diharapkan mereka berjaya menjadi usahawan perintis program itu sebaik sahaja tamat kursus itu nanti," jelasnya.

Dalam ucapan Belanjawan 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar  menjelaskan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk latihan keusahawanan, modal perniagaan dan pemantauan prestasi peserta untuk program U-GATES manakala RM2 juta lagi untuk dana U-BES.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: