KUALA TERENGGANU, 3 Jun – Tempoh bayaran cukai tanah tanpa denda
bagi negeri Terengganu untuk tahun 2019 telah dilanjutkan oleh pihak berkuasa
negeri.
Timbalan Pengarah Tanah dan Galian (Pendaftaran) Terengganu, Wan
Khalid Wan Jusoh berkata, lanjutan tempoh tersebut menyaksikan ia akan berakhir
pada 31 ogos nanti.
Katanya, pembayaran awal sebelum tarikh akhir tersebut boleh
mengelakkan daripada dikenakan denda lewat bayar yang bermula pada 1 September
2019.
“Bayaran cukai tanah termasuk tunggakan dan denda pula bolehlah
dibuat di semua kaunter bayaran di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG)
Terengganu, Pejabat-Pejabat Tanah Daerah seluruh Terengganu dan Pusat
Transformasi Bandar (UTC), Paya Bunga Square,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan rasmi yang telah
dikeluarkan beberapa hari lalu.
Wan Khalid berkata, segala urusan tersebut sama ada di kaunter
PTG, hasil Pejabat-Pejabat Tanah Daerah dan UTC Paya Bunga Square
adalah pada waktu dan hari bekerja.
Bayaran tersebut boleh dijelaskan dengan menggunakan kad debit
atau kad kredit di semua kaunter hasil berkenaan, manakala bayaran
secara atas talian juga boleh dilakukan dengan menggunakan perkhidmatan
Maybank2U di https://www.maybank2u.com.my/.
“Untuk kaunter di PTG dan hasil pejabat-pejabat Tanah daerah ia
dibuka pada Ahad hingga Rabu pada pukul 8 pagi dan berakhir 4.30 petang,
manakala hari Khamis, ia bermula 8 pagi hingga 3 petang.
“Bagi kaunter di UTC pula, Ahad hingga Khamis ia beroperasi pada
jam 1 tengah hari hingga 10 malam, dan 7 hingga 8 malam ditutup untuk waktu
rehat, pada Jumaat dan Sabtu pula ia bermula pada 8 pagi dan ditutup tepat jam
5 petang, operasi berhenti rehat 12 tengah hari hingga 3 petang,” katanya.
0 komen: