Wednesday, 19 June 2019

Tangani Krisis Perubahan Iklim Dan Sumber Semula Jadi Benua - Titah Sultan Mizan

SHARE
Sultan Mizan prihatin masalah perubahan iklim yang turut menjejaskan rakyat Malaysia.
SERDANG, 19 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar semua cendekiawan berusaha menangani krisis perubahan iklim dan sumber semula jadi di serantau daripada semakin membarah.

Baginda bertitah, krisis tersebut juga turut memberi kesan kepada Malaysia apabila persekitaran dan cuaca negara menjadi semakin panas.

Jelas baginda, keadaan itu sekali gus menjejaskan keseimbangan alam dan kehidupan rakyat Malaysia termasuk dalam bidang sosio-ekonomi dan kesihatan.

"Atas sebab itu, kita tiada pilihan untuk tidak ambil peduli tentang masalah (perubahan iklim) yang melanda kita dan benua serantau.

"Inilah cara dan masa terbaik bagi kita bersama-sama melindungi dan memelihara persekitaran serta ekosistem serantau sebelum masalah bertambah teruk," titah Sultan Mizan di hadapan 1,000 penyelidik serta saintis dalam dan luar negara.

Sultan Mizan bertitah semasa berkenan merasmikan Majlis Pembukaan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia Kali Kelapan (MISA8) di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Penyampaian geran penyelidikan YPASM.
Turut hadir mengiringi keberangkatan baginda ialah Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Persekitaran dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya dan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dato' Dr Aini Ideris.

Hadir sama, Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahya serta Pengarah Pusat Kajian Benua, Universiti Victoria New Zealand, Profesor Timothy Naish.

Baginda yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) mengharapkan tindakan terhadap isu perubahan iklim tersebut turut diambil di setiap peringkat dasar pentadbiran negara.

Tambah Sultan Mizan, YPASM juga komited membantu menyelesaikan masalah itu dengan memberikan dana kepada saintis Malaysia untuk mencari solusi terbaik dalam masalah tersebut.

"Beta juga gembira, sejak penubuhan YPASM, yayasan ini telah menyumbangkan peruntukan geran bernilai RM4.3 juta kepada saintis Malaysia untuk menyelamatkan dunia ini.

"Malaysia telah berkembang dengan cemerlang dalam bidang Sains, dan beta mengucapkan tahniah kepada semua saintis daripada pelbagai univesiti Malaysia yang membantu masyarakat dunia menghadapi masalah ini," tambah baginda.

Timothy Naish.
Dalam majlis itu, baginda berkenan menyampaikan geran penyelidikan YPASM 2019 yang bernilai RM150,000 kepada beberapa saintis.

Program MISA8 yang bermula hari ini akan berakhir pada 20 Jun nanti bertujuan untuk berkongsi dan berbincang tentang pelbagai isu alam sekitar yang berlaku sesuai dengan tema 'Polar Regions in the Global Climate System'.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: