Sunday, 16 June 2019

Rumah Terbuka Satukan Rakyat Berbilang Kaum

SHARE


Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 16 Jun- Penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan setiap tahun berjaya menjadi medium untuk merapatkan ukhwah antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, amalan mengadakan rumah terbuka secara tidak langsung juga dapat merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat melalui budaya ziarah menziarahi.

“Majlis rumah terbuka yang disertai masyarakat berbilang kaum dilihat boleh menyatukan masyarakat majmuk di negara ini dalam mencapai erti perpaduan sebenar.

“ Malah, konsep rumah terbuka sempena musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri boleh merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat, selain memantapkan perpaduan dan muhibah di kalangan penduduk berbilang kaum,” ujarnya ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka DUN Sura yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung di Dewan Arena Square, baru-baru ini.


Wan Hapandi berkata, perpaduan sebenar akan wujud apabila tidak ada lagi perkara yang boleh menimbulkan rasa sangsi, gelisah dan kurang percaya atau terlalu sensitif apabila terdapat perkara atau isu tidak seharusnya dibangkitkan.

“Acara rumah terbuka bukan sekadar merapatkan hubungan antara kaum tetapi bermanfaat untuk menghapuskan tanggapan buruk dan salah faham terhadap Islam.

"Perpaduan itu penting dan menjadi tanggungjawab semua rakyat negara ini berusaha mengekalkannya,” katanya.



Beliau juga menyatakan rasa gembira apabila amalan rumah terbuka yang dianjurkan oleh orang Islam secara individu turut menjemput jiran tertangga pelbagai kaum bagi merayakan Aidilfitri bersama-sama.

“Islam mengutamakan keamanan dan kita bersedia membawa imej keamanan (Islam) itu kepada bukan Islam,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: