Tuesday, 11 June 2019

Rumah Terbuka Medan Erat Ukhuwah - Dr Khairuddin

SHARE
Dr. Khairuddin meraikan kanak-kanak yang hadir dengan duit raya.


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 11 Jun – Majlis rumah terbuka yang diadakan merupakan medan terbaik mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat dalam musim hari raya ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program-program sebegini turut menjadi medium penting bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat Kuala Nerus dan bersama pemimpin-pemimpin setempat.

“Rumah terbuka yang diadakan pemimpin secara tidak langsung membina persefahaman dan ruang komunikasi antara kedua pihak.

“Alhamdulillah, ramai warga Kuala Nerus datang ke rumah terbuka pada tahun ini dan banyak juadah yang disediakan untuk semua tetamu yang hadir,” katanya ketika ditemui dalam majlis sambutan Rumah Terbuka Ahli Parlimen Kuala Nerus di kediaman rasminya di Lembah Takir, baru –baru ini.
Para pemimpin perlu manfaat majlis rumah terbuka untuk dekati rakyat.

Majlis tersebut berlangsung secara meriah dengan kehadiran hampir 3,000 penduduk dari seluruh daerah dengan pelbagai juadah lazat disediakan.

Antara tetamu yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias bin Razak; Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah; Yang Dipertua Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kuala Nerus, M.Shukrimun Shamsudin serta Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Tuan Haji Mohd Fazil bin Wahab.

Dalam majlis berkenaan, Dr. Khairuddin juga meraikan tetamu dengan mengagihkan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) selaku penganjur merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir memeriahkan majlis rumah terbuka kali ini. Semoga ikatan ukhuwah akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Hampir 3,000 pengunjung hadir ke rumah terbuka Kuala Nerus.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: