Sunday, 16 June 2019

Rumah Terbuka Aidlifitri DUN Sura ‘Diserbu’ 5,000 Orang

SHARE

Pelbagai latar belakang masyarakat hadir memeriahkan rumah terbuka aidifitri.

Oleh : Mohd Asraf

DUNGUN, 16 Jun - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mendapat sambutan luar biasa apabila diserbu kira-kira 5,000 tetamu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, majlis itu sudah menjadi acara tahunan dalam aktiviti kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Jelasnya, orang ramai daripada pelbagai kaum mula membanjiri majlis jamuan itu seawal pukul 10.30 pagi bagi tidak melepaskan peluang meraikan sambutan aidilfitri bersama pemimpin masyarakat dan warga Sura.

“Setiap tahun kita adakan sambutan hari raya bukan untuk bermewah-mewah, tetapi sambutan yang kita adakan ini adalah secara sederhana namun diadakan juga demi rakyat khususnya di Dun Sura ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan Arena Square Dungun, di sini semalam.

Wam Hapandi memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Turut hadir dalam majlis tersebut Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli bersama isteri, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat, wakil Ibu Pejabat Polis (IPD) Dungun dan ketua-ketua jabatan.

Wan Hapandi turut menghargai kehadiran pengunjung daripada pelbagai kaum dan peringkat usia yang memeriahkan majlis rumah terbuka anjuran pihaknya.

“Kehadiran orang ramai daripada pelbagai kaum mencerminkan perpaduan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik sangat bagus di kawasan kita ini”, ujar beliau.

Dalam majlis tersebut, tetamu berpeluang untuk merasai pelbagai jenis juadah antaranya cendol, apam balik, nasi minyak, buah-buahan dan aneka kuih raya selain dihiburkan dengan lagu dan nasyid raya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: