Monday, 10 June 2019

Rumah Hangus Dijilat Api, Aidilfitri Disambut Hiba

SHARE



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 9 Jun - Kemeriahan meraikan hari raya aidilfitri bertukar hiba buat sembilan beranak di Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) apabila rumah mereka hangus dijilat api.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) AMBS, Maliki Said yang berada di tempat kejadian berkata, pada awalnya beliau menyangkakan letupan kecil yang didengari dari rumahnya adalah bunyi mercun tetapi beliau terkejut apabila melihat api telah marak di sebuah rumah.

"Kejadian berlaku selepas saya pulang dari solat Zohor di masjid dan pada ketika itu tiada seorang pun di rumah berkenaan, kerana dimaklumkan berjalan ke rumah saudara mara sempena hari raya.

"Apabila melihat kejadiaan berkenaan, jiran tetangga segera memberi pertolongan dan menelefon Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang kemudiannya datang berusaha memadamkan kebakaran," ujar beliau.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak pemberita di tapak kebakaran berkenaan, di sini hari ini.



Menurut Maliki lagi, orang ramai yang menyedari kebakaran itu turut berusaha memadamkan api tersebut daripada terus merebak.

"Walau bagaimanapun sukar mengawal api kebakaran menyebabkan semua yang ada tidak berjaya diselamatkan," jelasnya.

Sementara itu, menurut Mohd Radzie Rasdi, 28, anak sulung kepada pemilik kediaman itu berkata, dia terkejut namun bersyukur kerana ketika kejadian semua ahli keluarga tiada di rumah.

"Amat terkejut apabila mendapat panggilan dari jiran menyatakan rumah kami terbakar dan terus bergegas pulang ke rumah di AMBS.

"Segala-galanya tidak berjaya diselamatkan, namun kami pasrah dan redha dengan ketentuan ilahi," katanya.

Sehubungan itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejadian berkenaan telah dimaklumkan kepada Majlis Tindakan Daerah Dungun dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk sebarang tindakan lanjut kepada keluarga tersebut.

"Kita harap agar mangsa redha dan sabar menerima ujian ini, dan saya turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pihak yang tampil memberi bantuan segera," ucap beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: