Wednesday, 12 June 2019

RM1.183 Juta Pinjaman Tanpa Faedah SBMT Siri Pertama Diluluskan

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 12 Jun - Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.183 juta di bawah siri pertama Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) kepada 44 pemohon.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, permohonan pinjaman tanpa faedah itu melibatkan pemohon kategori individu yang menceburi sektor pertanian, penternakan, akuakultur dan perikanan dengan nilai kelulusan antara RM10,000 sehingga maksimun RM50,000 seorang.

"Sektor utama yang mendapat tumpuan pemohon ialah pertanian secara fertigasi, penternakan ayam, itik, lembu dan kambing, pembelian bot serta peralatan menangkap ikan dan pengusaha pembenihan kerapu hybrid.

“Bagi setiap permohonan yang dikemukakan, pegawai-pegawai dari jabatan berkenaan telah turun padang untuk membuat lawatan tapak serta penilaian potensi projek sebelum dikemukakan laporan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Bantuan Modal Tani bagi dibuat pertimbangan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam status Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, prosesnya agak teliti kerana kerajaan negeri meletakkan objektif untuk skim bantuan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh warga tani di negeri Terengganu agar masalah kekurangan modal yang dihadapi dapat disantuni sebaiknya.

"Tiada permohonan yang ditolak namun terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan oleh pemohon seperti lesen bot nelayan yang belum diluluskan.

"Perlu cari tapak baharu yang lebih sesuai untuk diusahakan serta saiz projek yang perlu diteliti semula disebabkan ada isu jumlah dana yang dipohon tidak sepadan dengan saiz projek yang nak dibuat," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, jabatan berkenaan akan mengambil tindakan susulan bagi menangani isu-isu yang timbul.

"Hasrat kerajaan adalah agar semua rakyat yang bersungguh-sungguh hendak berusaha dapat dibantu.

“Senarai permohonan untuk siri kedua dalam proses untuk diangkat ke Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Bantuan Modal Tani seberapa segera," ujarnya.

Katanya, bagi tahun ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk SBMT.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: