Tuesday, 18 June 2019

Rakyat Terengganu Perlu Bina Mentaliti Baharu

SHARE
Pemimpin dan rakyat perlu berganding bahu mewujudkan budaya 'lama' yang harmoni seperti gotong- royong - Dr. Azman.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 18 Jun – Rakyat Terengganu dinasihatkan agar membina mentaliti dan cara berfikir baharu serta memahami bahawa bukan segala permasalahan dapat diselesaikan dengan peruntukan dan tender.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri terus komited berdepan dengan cabaran besar ini dan berusaha menyemarakkan semula budaya gotong-royong dalam masyarakat.

“Bila tiada peruntukan, kita ‘pakat’ duduk termenung tidak boleh buat apa-apa. Kemana pergi budaya gotong-royong untuk selesaikan isu dan masalah yang bersangkutan dengan kepentingan kita bersama seperti cuci longkang dan parit kawasan padi?

“Mari kita semarakkan semula budaya murni ini. Kita ajak jabatan dan orang kampung bersama-sama turun padang,’’ katanya ketika merasmikan Program Gotong-royong Komuniti di Skim Pengairan Kerandang Timur, di Kampung Bukit Tanah, dua hari lalu.

Slot penerangan berkaitan petanian turut menjadi pengisian program.

Turut serta, Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Yusof dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara), Fatimah Hamid.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, apabila menghadapi masalah keterbatasan  peruntukan, pimpinan masyarakat perlulah kreatif menyelesaikan masalah walaupun hasilnya tidak sempurna 100 peratus.

 “Sering saya sebut, ada benda kita boleh selesaikan dengan tulang empat kerat, saling berganding bahu dibantu jentera daripada jabatan tanpa perlunya peruntukan. Apa yang penting, sebahagian daripada isu-isu besar dapat kita tangani.

Berbincang, muafakat perlu disemarakkan dalam masyarakat.

“Disebabkan hal ini, apabila timbul sesuatu permasalahan saya lebih suka melibatkan Ketua Tani, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) duduk berbincang dengan jabatan supaya masalah ini biar ‘jijok’ di bumi nyata,” katanya yang turut menyediakan makanan, minuman dan jentera pengorek-kaut (backhoe) bagi program berkenaan.

Dr. Azman turut memaklumkan Besut dan setiu merupakan kawasan tumpuan utama jelapang padi yang berkeluasan lebih 5,000 hektar lebih akan ditingkatkan kepada 10,000 hektar dalam projek Ketara fasa dua.

Projek tersebut juga dijangka akan turut melibatkan Skim Pengairan Kerandang Timur.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: