Wednesday, 12 June 2019

Projek Baharu Pulau Kapas Rancakkan Pelancongan Terengganu

SHARE

Pulau Kapas akan menerima lima projek pembangunan baharu.
MARANG, 12 Jun - Pulau Kapas bakal menerima projek pembangunan baharu berjumlah RM350,000 yang dijangka bermula Julai depan sekali gus merancakkan lagi pusat pelancongan bertaraf antarabangsa itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan peruntukan tersebut bagi kerja-kerja membaik pulih dan pembinaan kemudahan pelancongan.

Jelasnya, projek di pulau berkeluasan 260 hektar yang dijadualkan siap sebelum musim tengkujuh tahun ini itu turut membabitkan pemasangan lampu solar (solar street lighthing) di sekitar kawasan tersebut.

“Kerajaan negeri telah meluluskan bajet segera untuk kerja membaik pulih laluan pejalan kaki termasuk tangga dan susur tangan semuanya bernilai RM200 ribu, selain ‘rubber fender’ di jeti akan turut dipasang.

“Ini juga termasuk fasiliti surau, tandas dan bumbung jeti yang akan dinaik taraf. Sementara itu, laluan, papan tanda, kemudahan wakaf serta 'jungle trekking' akan dibaiki mengikut kesesuaian tempat pelancongan,” ujarnya.


Meninjau Stesen Sistem Solar Hibrid yang menjadi sumber utama elektrik di Pulau Kapas.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Kapas, di sini hari ini.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta wakil-wakil Pejabat Daerah Marang dan Pejabat Pelancongan Negeri.

Di samping itu, Ariffin turut mengulas tentang aduan masalah elektrik di pulau tersebut yang akan menjejaskan kehadiran pelancong untuk jangka masa panjang.

Katanya lagi, isu berkenaan akan diselesaikan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta yang secara dasarnya telah dipersetujui oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Saya dimaklumkan Pejabat Daerah Marang telah memohon peruntukan daripada UPEN untuk menggantikan sistem solar hibrid kepada penggunaan genset sebanyak dua unit.

“Pengunaan genset ini akan menjimatkan kos, di samping turut membantu pengusaha chalet mengembangkan bisnes (menambah bilangan chalet) mereka dan menampung pertambahan pelancong ke Pulau Kapas, seterusnya meningkatkan jumlah pelancong ke Terengganu.

“Tadi kami juga sempat meninjau masalah berkaitan banjir, jadi insya-Allah sistem perparitan ini kita akan selesaikan, ini untuk projek jangka masa panjang kita,” tambah beliau.

Laluan 'jungle trekking' yang akan diubah suai.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: