Tuesday, 18 June 2019

Pine Hill’s Garden, Tarikan Baharu Marang

SHARE
Konsep kebun anggur yang dipadankan bersama rumah peranginan jadi tarikan.

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 18 Jun - Pine Hill’s Garden yang mengetengahkan konsep ‘unique farming’ (pertanian unik) kini menjadi tarikan baharu di kalangan masyarakat setempat dan pengunjung luar ke daerah Marang.

Terletak di puncak sebuah bukit berketinggian 200 kaki dari aras laut, ramai yang tidak menyangka kawasan berhampiran pesisir pantai Kelulut itu merupakan salah satu pusat tanaman anggur yang menarik.

Pemiliknya, Mohammad Salleh Angullia Isa, 26, menterjemahkan hobi dan bakatnya dalam bercucuk tanam dengan cara unik iaitu mewujudkan kebun anggur dan rumah yang berkonsepkan penginapan peranginan di kediaman keluarganya, di Kampung Bukit Kemas.
Mohammad Salleh Angullia.

“Pada permulaannya, kerja-kerja ini hanya hobi semata-mata di mana dari sudut latar belakang pendidikan, saya tidak pernah terlibat dalam bidang agricultural.

“Saya hanya belajar daripada laman Youtube, media sosial, daripada kawan-kawan dan kelompok petani sehingga hobi tersebut berhasil menjadi pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di lokasi tersebut, semalam.

Mohammad Salleh mengusahakan tanaman itu sejak dua tahun lalu setelah tanah tersebut diteroka oleh keluarganya.

 “Sebenarnya, tanaman anggur ini belum lagi dikomersialkan di mana-mana, tetapi saya juga terkejut ia tiba-tiba tular di media sosial pada awal Syawal lalu,” tambahnya.

Menurutnya, baka dan benih tanaman yang diusahakan berasal dari lebih lima buah negara antaranya dari Amerika Syarikat, Perancis, Brazil, dan Ukraine.

Selain daripada buah anggur, Salleh juga pernah mengusahakan tanaman lain seperti strawberi, terung, tomato, lada dan lemon.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Kemas, Wira Zahid menyokong usaha yang dilakukan anak muda kampung berkenaan.

“Kini, kebun anggur miliknya itu menjadi tarikan orang ramai untuk melawat dan bergambar. Selain konsep kebunnya yang unik, persekitaran dan permandangannya yang berlatar belakang pulau kapas serta laut juga sangat mengagumkan.

“Sejak kebelakangan ini juga, ramai orang dari luar kampung ini termasuk dari negeri lain ada masuk ke kampung bertanyakan tentang kebun tersebut," katanya.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: