Monday, 10 June 2019

Peserta RTB Sungai Angke Terima ‘Tanah Raya’

SHARE
Para peserta merakam gambar di tapak RTb yang diterima.



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 10 Jun- Impian 116 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) untuk memiliki tanah di Sungai Angke akhirnya menjadi kenyataan sekali gus memberi sinar kegembiraan buat mereka di lebaran ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, para peserta terharu dengan apa yang telah mereka terima setelah sekian lama berhajat memiliki tanah pertanian berkenaan.

"Tanah ini merupakan isu lama semenjak tahun 90-an lagi yang mana penduduk masih tidak mendapat geran dan apa-apa janji melalui sebarang surat hitam putih (dokumen rasmi).

"Hasil kesungguhan penduduk dan bantuan dari semua pihak, akhirnya peserta telah diserahkan jadual satu iaitu Lesen Menduduki Sementara selama tiga tahun sebelum diserahkan geran kekal,” katanya.
Ghazali melakukan 'pecah tanah' merasmikan pembukaan tapak RTB Sungai Angke.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di majlis  Perasmian Pecah Tanah Tapak RTB Sungai Angke, baru-baru ini.

Ghazali juga melahirkan kegembiraan berikutan masalah tersebut dapat diselesaikan dalam jangka masa yang singkat.

"Inilah yang diharapkan oleh rakyat. Perkembangan berkenaan tanah ini sering kali menjadi fokus dan rakyat ingin tahu sejauh mana usaha bagi menyelesaikan isu ini kerana ia merupakan janji manifesto kerajaan negeri.

"Alhamdulillah semoga penyelesaian ini memberi kebaikan buat peserta serta dapat mensejahterakan kehidupan mereka dengan mengusahakan pertanian yang menjadi sumber rezeki dan mata pencarian kepada penduduk disini,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: