Sunday, 30 June 2019

Pertandingan Tourism Malaysia Surfcasting Tour : RM118 Ribu Jadi Buruan

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar dan Asraf Azhar

DUNGUN, 30 Jun - Hadiah wang tunai sebanyak RM117,950.00 menjadi buruan kaki-kaki pancing dalam pertandingan memancing sempena "Pertandingan Tourism Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020”  yang berlangsung di Pantai Teluk Lipat sebagai salah satu lokasi siri-siri jelajah tersebut.

Bagi setiap pusingan, juara membawa pulang wang tunai RM70,000, naib juara RM12,000 dan ketiga RM5,000. Pemenang tempat keempat pula menerima RM1,000, kelima (RM700), keenam hingga sepuluh (RM450) manakala pemenang ke-11 hingga 100 akan menerima RM300.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata, acara tersebut berjaya menarik seramai hampir 1,300 orang peserta yang kebanyakannya datang dari Kelantan dan Terengganu.

"Ini sudah tentu dapat membantu merancakkan industri pelancongan domestik kerana saya dapati 'homestay' penuh ditempah dan kedai-kedai makan penuh dikunjungi para peserta," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan tersebut, di sini semalam.

Siri jelajah memancing sehari itu adalah anjuran bersama Tourism Malaysia, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Majlis Perbandaran Dungun.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kanan Tourism Malaysia (Domestik dan Acara), Mohd Nasir Kushairi.

Menurut Wan Hapandi, daerah Dungun adalah destinasi keempat siri jelajah tersebut yang melibatkan 10 pusingan.

"Memandangkan Dungun terkenal dengan ikan tenggiri, saya juga berharap daerah Dungun akan dijadikan  'Bandar Tenggiri' suatu hari nanti sekali gus membantu meningkatkan industri pelancongan," tambahnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: