Monday, 17 June 2019

Pencuci Masjid Bukit Besi Terharu Dapat Rumah PPTS

SHARE
Rumah Terengganu-ku Sejahtera.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 17 Jun - Hasrat seorang pencuci di Masjid Bukit Besi untuk memiliki rumah kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila permohonannya dalam Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) diluluskan dan sedia untuk diduduki.

Norasimah Hasani, 45, berkata, sudah berbelas tahun dia menyimpan keinginan dan cita-cita tersebut yang akhirnya berjaya ditunaikan oleh kerajaan negeri pada tahun ini.

"Telah lama juga saya memohon kediaman PPTS ini, kerana tidak mampu nak beli rumah sendiri.

"Saya hanya bekerja sebagai tukang cuci masjid dan juga sebagai pencuci di Universiti Teknologi Malaysia (UITM) cawangan Bukit Besi serta tukang susun kayu di kilang papan Pesaka Terengganu Berhad (PTB) secara kontrak," jelasnya.

Norasimah berkata demikian ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci rumah berkenaan, di Kampung Besol, di sini semalam.

Sebelum ini, dia bersama suaminya, Nordin Md hanafiah, 46, tinggal di rumah Berek PESAKA bersama lima orang anaknya atas dasar ihsan oleh pihak persatuan tersebut.


Norasimah Hasani berjaya memiliki rumah sendiri setelah menanti berbelas tahun.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, lima daripada 11 penerima rumah PPTS Kampung Besol selain Norasimah adalah pekerja kilang papan yang tinggal dalam kedaifan.

"Daripada senarai yang mendapat rumah berkenaan terdapat mereka yang telah berbelas tahun memohon projek perumahan itu.

"Tentang penerimaan rumah ini, ia bukanlah boleh diberikan begitu sahaja sebaliknya perlu menetapi syarat yang telah diberikan," jelasnya.

Tambahnya rumah berkenaan tidak boleh diwarisi kepada ahli keluarga yang lain termasuk anak-anak.

"Kita berharap segala yang termaktub didalam perjanjian telah dibaca oleh penerima serta difahami dengan jelas.

"Selain itu jalan di hadapan rumah ini, akan dinaiktaraf oleh Majlis Daerah Dungun termasuk diturap untuk memberi lebih keselesaan kepada mereka," jelas Ghazali.

Terdahulu, seramai 16 orang penerima Rumah PPTS, yang melibatkan 11 buah rumah PPTS di Kampung Besol Bukit Besi, lima unit rumah PPTS di Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) menerima replika kunci rumah berkenaan.


Ghazali Sulaiman meninjau keadaan rumah sebelum diduduki oleh penerima yang layak

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: