Monday, 17 June 2019

Pasar Payang 2 Sudah Sedia Beroperasi - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Pasar Payang 2 yang menjadi lokasi sementara bagi peniaga Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) sudah sedia untuk digunakan bagi tujuan urus niaga.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tarikh operasi sebenar akan diputuskan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri membuat keputusan.

“Semuanya sudah sedia, cuma tunggu tarikh untuk kita maklumkan.

“Walau bagaimanapun, kita sedar bahawa mana-mana bangunan yang dibina ada tempoh kecacatan, kalau ada apa-apa kecacatan kita akan tambah baik dalam tempoh berkenaan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas mengenai isu Pasar Payang 2 pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri di Dataran Shah Bandar, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A.Rahman Yahya serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, kerajaan negeri menangguhkan tarikh pemindahan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) ke pasar sementara iaitu Pasar Payang 2 yang pada asalnya dijadualkan April lalu kepada selepas Hari Raya Aidilfitri.

Penangguhan itu dibuat ekoran rayuan para peniaga meminta pertimbangan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menunda tarikh pemindahan untuk menjalankan urus niaga di tapak asal.

Difahamkan, ‘pemindahan sementara’ peniaga yang menjalankan perniagaan di 762 lot peniagaan di PBKP adalah untuk memberi laluan kepada pembangunan semula PBKP dan memberi nafas baharu kepada destinasi ikonik itu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: