Monday, 24 June 2019

Pasar Payang 2 Sedia Beroperasi 1 Julai Ini

SHARE
Dr Alias Razak melakukan tinjauan akhir sebelum Pasar Payang 2 digunakan. Foto oleh - Safwan Syakir
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Pasar Payang 2 yang menjadi lokasi sementara bagi peniaga Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) dan bakal beroperasi pada 1 Julai nanti berada pada tahap terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri,  Dr Alias Razak menjelaskan, gambaran dan dakwaan air memenuhi ruang pasar yang ditularkan semalam berlaku di luar kawasan tersebut.

Jelasnya, struktur longkang serta aliran air di dalam pasar itu telah dipastikan berada dalam keadaan terbaik dan tidak mengalami apa-apa masalah.

“Semalam ditularkan berlaku banjir di Pasar Payang ini, jadi kita adakan lawatan hari ini dan hasilnya tidak sebagaimana yang dihebohkan, bangunan ini pun belum siap sepenuhnya, proses tambah baik di tahap akhir.

“Sebenarnya semalam berlaku ribut menyebabkan air luar ditolak masuk menyebabkan lantai basah sedikit, air hujan memasuki kawasan yang belum sempurna pemasangan atap, bukan berlaku banjir dan bukan sebab saliran perparitan,” jelasnya.

Kata Dr Alias, segala persiapan sudah berada di fasa-fasa akhir sebelum digunakan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke Pasar Payang 2, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Che Wan Zulkifli Che Wan Jalil serta Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof.

Tambah Alias lagi, sistem struktur lain yang dikatakan tidak berfungsi serta merbahaya adalah tidak benar dan ia bukanlah seperti yang disangkakan.

Sebaliknya, segala sistem dan operasi pasar yang bakal digunakan secara berperingkat itu sudah bersedia sepenuhnya.

“Yang ditunjukkan dalam gambar, air keluar dari tanah (lubang air buang), itu sebenarnya adalah paip untuk penyaman udara yang pergi ke longkang. Jadi adalah berlaku sedikit sumbatan dalam saluran keluar, bukan air bumi atau sungai yang terperangkap.

“Semua perkara itu sudah selesai dan ia akan beroperasi (perpindahan) sebagaimana yang dirancang, insya-Allah dalam masa terdekat, 1 Julai nanti,” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: