Wednesday, 19 June 2019

Muktamar PAS : ‘Demi Islam’ Kesinambungan Prinsip Perlembagaan Parti

SHARE
Muhammad Khalil Abdul Hadi.
KUANTAN, 19 Jun - Dewan Pemuda PAS Malaysia mengangkat ‘Demi Islam’ sebagai tema muktamarnya kali ini bertujuan mengajak anak muda kembali semula kepada prinsip dan teras perjuangan PAS.

Ketuanya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia juga menjadi prinsip utama kepada kesepakatan yang telah dan akan diwujudkan pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini hari ini.

Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan lebih 100 tetamu jemputan khas termasuk wakil-wakil kedutaan asing.

Seorang pemimpin Jabatan Amal Terengganu menerima anugerah dari Muhammad Khalil (kanan) diperhatikan oleh Datuk Tuan Ibrahim (tengah).
Katanya, sejarah politik PAS penuh warna warni dan melalui jalan penuh ranjau.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa PAS adalah parti politik di dalam Malaysia yang paling dinamik dan berani dalam memutuskan sesuatu berdasarkan prinsip.

“PAS pernah bersama dengan UMNO dan pernah juga berseteru degan UMNO. PAS pernah berpatah arang, berkerat rotan dengan DAP, PAS juga pernah bersahabat dengan DAP.

“PAS juga pernah berkawan dengan PKR dan PAS tidak ragu-ragu memutuskan hubungan dengan PKR,” jelas beliau.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, dalam semua tindakan ini, ada ahli yang menerima dengan patuh dan taat, ada yang tidak bersetuju.

Katanya, apa yang lebih penting, setiap tindakan yang PAS lakukan sepanjang sejarah politiknya sama ada bertahalluf atau berta’awun didasarkan kepada prinsip utama yang digariskan dalam perlembagaan parti iaitu demi mempertahankan Islam.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: