Sunday, 23 June 2019

Muktamar PAS : UMNO Terengganu Dipelawa Bantu Kerajaan Negeri

SHARE
Mohd Nor Hamzah.

KUANTAN, 23 Jun - Kerajaan Terengganu membuka ruang seluas-luasnya untuk UMNO membantu dan memperkasakan pembangunan negeri bagi memberi manfaat kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya juga menunaikan tanggungjawab tanpa bersikap pilih kasih kepada penyokong UMNO demi menjaga kestabilan politik yang wujud di negeri itu.

Jelasnya, muafakat politik antara PAS dan UMNO yang sedang berjalan di peringkat pusat pastinya akan disambut baik di negeri berkenaan.

“Sebagai contoh kita memberi bantuan tanpa mengira ideologi politik mereka, bahkan kita masih memberikan ruang buat penyokong UMNO yang berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini untuk meneruskan khidmat mereka.

“Kita melihat pimpinan UMNO tidak terlalu agresif, bahkan mereka memberikan pandangan yang boleh diterima, cuma saya mengharapkan supaya ahli-ahli UMNO yang berada di bawah tidak menjadi alat yang dipergunakan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat menjelaskan, perbezaan pendapat yang ada dalam kalangan ahli PAS dan UMNO tidak seharusnya menjadi sebab untuk terus bertelagah.

Sebaliknya, demi menjaga perpaduan yang telah wujud antara kedua-dua parti terbesar melayu itu, perbincangan secara bersama harus diadakan.

“Sebaliknya mereka (ahli UMNO) sepatutnya cuba untuk membantu kerajaan dan kita sedia berjumpa dengan ahli UMNO bagi memberi penerangan berkaitan isu terkini kerajaan negeri dan rakyat,” tambah beliau.

Semalam, muktamar meluluskan usul supaya pimpinan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama memeterai perjanjian politik dengan UMNO.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: