Saturday, 22 June 2019

‘Muktamar PAS Pahang Paling Berjaya’ - Yahaya Ali

SHARE
Yahaya (tengah) melawat 'booth' Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Kuantan Pahang.

Oleh Adli Mohamad

KUANTAN, 22 Jun - Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Pahang pada tahun ini adalah paling berjaya dari segi kehadiran kerana ia disertai oleh pelbagai pihak termasuk parti-parti politik, kedutaan asing dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Timbalan Pesuruhjaya PAS III, Yahaya Ali berkata, ia juga berjaya kerana Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengemukakan ucapan dasar yang agak menarik yang menggambarkan bahawa sudah sampai masanya PAS memimpin satu perubahan besar kepada negara Malaysia dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Pendekatan-pendekatan yang disebutkan oleh Dato’ Seri Presiden dalam ucapan dasarnya merangkumi semua aspek merangkumi perpaduan, pentingnya mempertahankan status-quo negara termasuk Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam dan soal bangsa Melayu mesti memimpin.

“Ini semua boleh diterima oleh mereka yang ingin bersama dengan PAS sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita mengulas Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA Bandar Indera Mahkota di sini, hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata, PAS mempunyai begitu banyak pengalaman dalam ‘tahaluf siyasi’ (perjanjian politik), ‘taawun’ (kerjasama) dengan mana-mana pihak yang bersedia menerima dasar perjuangan PAS.

“Menerima perjuangan PAS tidak mesti mereka perlu bersama-sama dengan perjuangan Islam tetapi sekurang-kurangnya mereka perlu menghormati apa yang diperjuangkan oleh PAS,” jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: