Saturday, 22 June 2019

Muktamar PAS : Medan Persiapkan Langkah Menuju PRU-15 - Dr Khairuddin

SHARE
Foto oleh - Pok Abas



KUANTAN, 22 Jun – Muktamar tahunan PAS kali ke-65 yang berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) adalah medan untuk mempersiapkan parti itu bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU-15) nanti.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali berkata, semua perkara yang ditegaskan sepanjang muktamar menerusi ucapan dasar presiden adalah berkenaan strategi baharu menghadapi saingan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, bagi mendepani situasi itu agenda penyatuan ummah dan kerjasama politik bersama UMNO akan terus diperkukuh.

“Kita lihat menerusi perbahasan-perbahasan ucapan dasar presiden, perwakilan dilihat menghayati hasrat Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

“Di samping itu, kita juga menggariskan perkara-perkara penting sebagai gerak kerja masa depan, untuk kita perkasakan parti kita sebagai bukan hanya kerajaan menanti, tetapi kerajaan contoh untuk semua melalui Terengganu dan Kelantan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Muktamar Tahunan PAS ke-65, di sini hari ini.

Mengulas tentang tema Ucapan Dasar Presiden, Khairuddin menegaskan kerjasama dengan UMNO adalah memberi keutamaan kepada isu yang berkaitan dengan islam.

“Ini kali yang kedua kita memaparkan tajuk yang sama untuk ucapan dasar, bagi menegaskan bahawa yang patut memimpin (diletak di hadapan) ‘taawun siyasi’ yang bakal kita laksanakan bersama UMNO adalah islam.

“Bukan isu parti mana, Islam yang kita dahulukan dan itulah perjuangan kita sejak dahulu,” tambah beliau.

Muktamar Tahunan PAS Ke-65 selama tiga hari yang akan berakhir petang esok dijangka menentukkan hala tuju baharu parti itu selepas menjalinkan kerjasama erat bersama UMNO dalam beberapa isu besar yang melanda negara.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: