Thursday, 20 June 2019

Muktamar PAS : Kelantan Dan Terengganu Sebagai Ikon Pentadbiran

SHARE
Dato' Dr Mahfodz (berdiri) menyampaikan Ucaptama di Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Ke-58 di Wisma Belia Bandar Indera Mahkota.
KUANTAN, 20 Jun - Dewan Ulama PAS Pusat menyarankan agar kejayaan Kelantan dan Terengganu diangkat sebagai ikon pentadbiran PAS untuk Malaysia sebagai suatu model pentadbiran ‘nubuwah’ sekiranya Allah mengizinkan PAS dan pakatannya memerintah Malaysia kelak.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamed berkata, anugerah kemenangan yang Allah kurniakan kepada PAS pada Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk mentadbir dua buah negeri tersebut mesti dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Katanya, kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Kelantan dan Terengganu tidak hanya sebagai tatapan untuk rakyat sahaja, malah ia merupakan bukti kejayaan PAS dalam mencorakkan pentadbiran berlandaskan Islam.

“Kejayaan di Kelantan dan Terengganu mesti diangkat sebagai ikon pentadbiran PAS untuk Malaysia sebagai suatu model pentadbiran ‘nubuwah’ sekiranya Allah mengizinkan PAS dan pakatannya memerintah Malaysia kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama di Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat Kali Ke-58 di Wisma Belia di Bandar Indera Mahkota, di sini hari ini.

Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, wakil Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dewan Muslimat PAS Pusat, Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat dan mantan Ketua-ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Dato' Dr Mahfodz berkata, peranan media dan 'lujnah' penerangan parti amat penting dalam memperluaskan capaian kejayaan di Kelantan dan Terengganu.

Malah katanya, ia perlu dipromosikan secara lebih meluas kepada rakyat Malaysia untuk mereka berkunjung ke Kelantan dan Terengganu bagi melihat suasana dan perkembangan terkini di negeri-negeri tersebut.

“Tahun melawat Kelantan dan Terengganu mestilah dijadikan peluang bagi menyebarluaskan penerangan serta informasi berkaitan kejayaan, pembaharuan serta pencapaian yang telah dikecapi oleh Kelantan dan Terengganu.

“Malah kajian perbandingan hasil pentadbiran PAS dengan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu juga dibuat bagi membuktikan kemampuan dan kewibawaan PAS dalam pentadbiran,” ujarnya.

Katanya, selain kajian di peringkat pentadbiran yang ditonjolkan, kajian mengenai disiplin dan etika kalangan wakil rakyat PAS juga mesti ditonjolkan, agar rakyat mampu menilai bahawa kejayaan negeri yang ditadbir oleh PAS adalah hasil 'tarbiyah' yang diterapkan dalam PAS.

Sehubungan itu, tambahnya, seluruh kepimpinan termasuk wakil rakyat PAS perlu terus komited dengan agenda tarbiyah PAS kerana ia adalah kunci rahsia kejayaan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: