Wednesday, 19 June 2019

Muktamar PAS : Dewan Pemuda Kemuka 4 Prinsip Perpaduan Masyarakat Malaysia

SHARE
Muhammad Khalil (kiri) menyampaikan anugerah kepada Setiausahanya, Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden.
KUANTAN, 19 Jun - Dewan Pemuda PAS Malaysia meletakkan empat prinsip kesepakatan yang perlu dicernakan bagi merealisasikan agenda perpaduan masyarakat Malayia.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, prinsip pertama adalah kesepakatan atas dasar menegakkan keadilan Islam dengan lebih komprehensif.

Katanya, prinsip kedua adalah perpaduan dan kesepakatan tidak berasaskan kepada perkauman.

“Prinsip ketiga perlu kepada pemusatan untuk penyelesaian isu rakyat, merentasi sempadan ideologi. Manakala prinsip keempat adalah ikhlas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan lebih 100 tetamu jemputan khas termasuk wakil-wakil kedutaan asing.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, keadilan dalam Islam melangkaui bangsa dan agama serta ia memberi jaminan dan menjaga hak-hak orang bukan Islam.

Sementara prinsip kedua berhubung kait dengan prinsip pertama iaitu tidak disandarkan kepada perkauman.

Perwakilan pemuda dari Terengganu fokus mendengar  Ucaptama Muhammad Khalil.
“Kita perlu membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa kesepakatan ini menjadikan perlembagaan sebagai dasar kontrak sosial yang disepakati bersama para pejuang kemerdekaan dari berbilang kaum,” ujarnya.

Bagi prinsip ketiga katanya, pemuda perlu menfokuskan agenda penyelesaian isu rakyat yang kini semakin meruncing.

Menurut beliau, Dewan Pemuda PAS Malaysia dan PAS bukan hanya mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai sebuah parti politik tetapi bergerak juga dalam bidang kebajikan dan pendidikan.

“Ini dapat dilihat melalui peranan Jabatan Amal Malaysia, kolej universiti, sekolah-sekolah, kelab sukan dan jabatan profesional,” tambahnya.

Menyentuh prinsip keempat, beliau berkata, setiap pihak dalam gabungan ini seharusnya berusaha memahami dasar dan perjuangan rakan yang lain sekali gus mencari titik persamaan dalam persoalan perbezaan prinsip masing-masing.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: