Friday, 28 June 2019

MOTAC Serah Projek Setiu Wetland Bernilai RM3.6 Juta

SHARE
Isham dan Iskandar saling menyerahkan dokumen sambil diperhatikan Ariffin.
SETIU, 28 Jun - Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menyerahkan Projek Pembangunan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetland) yang telah berjaya diselesaikan kepada Majlis Daerah Setiu (MDS) bagi meneruskan kelestarian kawasan tersebut.

Projek bernilai RM3.6 juta itu merangkumi tiga rangkaian pembangunan iaitu sebuah jeti, pusat mini pelancongan dan medan ikan bakar yang memakan masa hampir dua tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, terdapat dua komponen tajaan dalam pembangunan Setiu Wetland iaitu melalui Petronas dan MOTAC.

Jawatankuasa yang dilantik akan mempromosikan Setiu Wetland - Ariffin.
"Sesi penyerahan dilakukan hari ini berikutan kunjungan MOTAC ke negeri ini walaupun ia belum dirasmikan lagi.

"Setelah perasmian, insya-Allah kita akan beroperasi sebagaimana dalam perancangan dan
kerajaan negeri akan mempromosikan serta memastikan ia lebih terjaga dengan jawatankuasa yang akan dilantik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tersebut di Kompleks Pusat Ekopelancongan Setiu Wetland, Kampung Pengkalan Gelap, hari ini.

Setiu Wetland miliki potensi besar untuk dimanfaatkan - Isham.
Projek berkenaan diserahkan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Isham Ishak kepada Yang Dipertua MDS, Mohd Iskandar Muhammad Aziz.

Turut hadir, pegawai-pegawai tinggi MOTAC serta kakitangan MDS.

Setiu Wetland dijangka bakal memberi limpahan manfaat kepada Terengganu dan warga daerah itu khususnya dalam ekopelancongan.

Dalam pada itu, Isham berharap, tanah bencah berkenaan akan terus dipelihara dalam memastikan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat seiring dengan kelestarian alam sekitar.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: